KUALA LUMPUR - Merasakan kehadirannya dalam Angkatan Tentera Darat dan Askar Wataniah tidak lagi diperlukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyerahkan surat letak jawatan dan mohon pembatalan tauliah.

Hari ini, Ahli Parlimen Rembau itu meletakkan jawatan sebagai Komander Rejimen 508 Askar Wataniah (508AW).

"Saya jumpa dengan  Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Zainal Abidin M Said di Mindef tadi.

"Saya telah menyerahkan peletakan jawatan sebagai Komander Rejimen 508 askar wataniah dan untuk dibatalkan tauliah dan pangkat saya," katanya ketika ditanya berhubung ciapan di akaun Twitternya.

Khairy menolak dakwaan kononnya beliau melepaskan pangkat dan tauliah itu kerana Menteri Pertahanan yang baharu, Mohamad Sabu.

"Bukan kerana Mat Sabu tapi kerana kehadiran saya dalam askar wataniah dan dalam tentera darat Malaysia  tidak lagi diundang.

"Lebih baik saya mengundurkan diri tapi ia belum rasmi, tak tahu bila mereka (Mindef) akan buat keputusan," ujarnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: KJ letak jawatan Komander 508AW]

Pada 14 Januari 2015, Khairy Kamaluddin dinaikkan pangkat daripada Kolonel kepada Brigadier Jeneral.

Beliau menyertai Askar Wataniah pada 20 Januari 2010, sebelum ditauliah sebagai Kolonel pada 28 Oktober 2013.

Khairy Jamaluddin juga sebelum ini merupakan menteri pertama dianugerahkan pangkat sebenar dalam Askar Wataniah selepas menyertai pelbagai kursus dianjurkan Askar Wataniah.