TANGGAL 9 Mei 2018 menyaksikan perubahan mengejutkan berlaku dalam negara. Mana tidaknya, sebuah kerajaan yang mentadbir Malaysia sejak 60 tahun lalu, tumbang dalam pilihan raya.

Tiada siapa menduga, tiada siapa menyangka. Benar kata orang, suara rakyat suara keramat!

Suara keramat itulah memecahkan ‘kubu’ yang selama ini disangka kebal. Lebih mengejutkan, keruntuhan kubu itu diketuai seorang jeneral berusia 93 tahun. Acap kali usianya diperlekeh, namun hakikatnya beliau berjaya merencana strategi ampuh menewaskan lawannya.

Terbentuknya kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan menyaksikan landskap politik negara berubah 365 darjah. Bakal memulakan sidang Parlimen pada 16 Julai ini, barisan kepimpinan Harapan dilihat seakan sudah bersedia membentangkan hujah dan buah fikiran mereka.

Namun, senario berbeza berlaku di blok pembangkang, Umno dan Pas khususnya. Sehingga artikel ini ditulis, mereka masih lagi belum memilih Ketua Pembangkang, malah silih berganti berteka-teki dalam isu berkenaan.

Pas serah kepada Umno

Yang pasti, Pas menyerahkannya kepada Umno, beranggapan wakil daripada parti itu lebih layak.

Begitulah pendapat Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau berasakan lebih molek sekiranya Pas memberi laluan kepada parti yang banyak memenangi kerusi menyandang jawatan berkenan, meskipun ia kali pertama Umno menjadi pembangkang di peringkat nasional.

“Seperti biasa, parti mempunyai majoriti kerusi paling banyak layak dicalonkan sebagai pembangkang, namun permuafakatan antara Umno dan Pas boleh berlaku. Muafakat itu bermaksud duduk berbincang. Itu tidak ada masalah.

“Saya fikir duduk berbincang itu tidak timbul soal bincang pasal parti, tetapi isu lantik ketua pembangkang sahaja. Polisi dan dasar Pas kali ini bersedia berbincang dengan mana-mana pihak bagi kepentingan negara” katanya.

Lantang serlahkan kemampuan, kematangan

Jika diambil kira pandangan pelbagai pihak, ramai berasakan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar paling layak memegang jawatan berkenaan. Kredibiliti, karisma malah ‘kesegakannya’ seakan menepati ciri seorang Ketua Pembangkang berwibawa.

Lihat sahajalah debat calon Presiden Umno baru-baru ini. Usianya lebih muda, namun ideanya melebihi usia. Kebolehannya melontarkan satu-persatu buah fikiran secara tertib dan lantang menyerlahkan kemampuan serta kematangannya.

Nah! Jika diukur kepada debat itu, mungkin tiada siapa boleh menafikan Khairy Jamaluddin sah diangkat sebagai pemenang! Begitu pun, perwakilan Umno memilih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden mereka dan keputusan itu sedikit sebanyak mencetuskan pelbagai polemik dalam kalangan mereka sendiri.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang diadakan pada 4 Julai lalu, seakan memberi sinar terhadap kemelut ini. Sayang seribu kali sayang, tiada keputusan dicapai membabitkan siapa bakal diangkat menjadi Ketua Pembangkang.

Menariknya, Ahmad Zahid menegaskan, keputusan hanya akan diumumkan selepas perbincangan dengan parti pembangkang lain. Bila ia akan diumumkan? Tidak pula dinyatakan, namun pastinya ia dalam masa terdekat.

“Kita akan umumkan siapa yang bakal jadi Ketua Pembangkang di Parlimen setelah perbincangan dengan rakan parti pembangkang yang lain termasuk ahli Parlimen Bebas.

“Oleh kerana Ketua Pembangkang ini lazimnya presiden parti dalam parti-parti pembangkang, maka kami berasakan musyawarah adalah jalan sesuai,” katanya.

Jika dinilai kepada kenyataan itu, nampak gayanya Ahmad Zahid bakal mengisi jawatan itu, sementelah Pas secara terbuka berasakan Umno lebih layak. Parti pembangkang yang lain? Ada, namun difikirkan belum cukup ampuh untuk memimpin.

Namun, ada pihak kurang menggemari pendekatan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, apatah lagi beliau turut dikaitkan dengan skandal melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak dilupakan juga isu salah guna dana yayasan.

Di pihak Khairy Jamaluddin pula, beliau dilihat agak bersih, malah sehingga kini tidak dibawa ke mahkamah atas tuduhan rasuah atau salah guna kuasa. Ditambah dengan kelantangan, juga kepetahannya, maka sudah terang lagi bersuluh, beliaulah calon terbaik.

Sebelum ini pun ketika di bawah pemerintahan BN, Ahli Parlimen Rembau itu cukup disegani, dihormati, disayangi. Kalau tidak, mana mungkin rakyat memanggilnya ‘abah’. Selepas mengambil kira pelbagai aspek, pemimpin ‘tall, dark and handsome’ ini paling layak mengisi jawatan Ketua Pembangkang. Noktah!