ALOR SETAR - Kira-kira 1,000 umat Islam tanpa mengira fahaman politik menyertai perarakan dari Masjid Sultanah Bahiyah di sini sejauh 1.8 kilometer bagi menyerahkan memorandum bantahan berkaitan penyebaran kitab Bible dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Himpuan aman itu adalah anjuran badan sukarela (Skuad Badar)  bermula pada jam 9 pagi selepas ucapan ringkas daripada pendakwah bebas, Ahmad Husam Datuk Sheikh Muhamad Baderudin.

Perarakan itu mengambil masa kira-kira lebih satu jam itu diketuai oleh pengerusi Skuad Badar, Azhar Mohamad dan tiba di pekarangan Wisma Darul Aman.

Memorandum membantah satu tindakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 11(4) itu diserahkan kepada wakil Exco Agama supaya menggesa wakil pegawai kepada  Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh, di pekarangan pintu masuk Wisma Darul Aman.

Selepas selesai penyerahan itu secara aman, Azhar menemui media berkata, tujuan pihaknya mengadakan himpunan dan perarakan itu adalah hanya untuk menyerahkan satu memorandum kepada pihak kerajaan negeri.

Menurutnya, memorandum itu dihantar dengan harapan agar  pihak kerajaan negeri dapat mengambil satu tindakan segera dalam menghentikan penyebaran kitab Bible di negeri ini khususnya di Daerah Kuala Muda iaitu melibatkan kawasan Kota Kuala Muda, Taman Ria dan Taman Delima.

"Berdasarkan aduan terkini, dua hari lalu, kami mendapati insiden yang sama  berlaku di Daerah Baling. Kita difahamkan, dua lelaki termasuk seorang 'mat saleh' mengedarkan kitab Bible di kawasan sekolah, perumahan dan juga pekarangan masjid di daerah itu.

"Susulan insiden itu, pihak kami berhimpun di sini untuk menggesa pihak berwajib iaitu kerajaan negeri supaya mengambil tindakan tegas kepada individu-individu tidak bertanggungjawab melanggar perkara termaktub dalam pelembagaan persekutuan  bahawa orang bukan Islam tidak boleh menyebar atau mendakwah kepada umat Islam," katanya yang turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Ismail di pejabatnya pada 2.30 petang, hari ini.

Azhar turut menegaskan himpunan anjuran pihaknya bukannya bermotifkan politik mana-mana parti malah hanya membawa suara rakyat di bawah khsusnya kegelisahan umat Islam di negeri ini berhubung isu pengedaran kitab Bible bermula dari sekolah ke depan rumah dan akhirnya diletakkan di pekarangan masjid.

Perarakan dan Himpunan Aman dari Masjid Sultanah Bahyiah ke Wisma Darul Aman untuk menyerahkan memorandum bantahan berkaitan penyebaran kitab Bible dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

"Antara tiga perkara yang dituntut dalam memorandum ini kepada  kerajaan negeri adalah untuk memperkasakan Islam, memperkasakan bangsa Melayu, mempertahankan Insitusi Raja-Raja Melayu.

"Sekiranya, memorandum kami diabaikan , kami akan datang balik dengan himpunan 10,000 umat Islam. Itu adalah janji kami. Ini kerana melibatkan agama, bangsa kami di atas tanah melayu,"katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Husam berkata, pihaknya juga turut menyatakan bantahan cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

"Kita berterima kasih, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana  tolak ICERD tetapi kita belum mendengar lagi kenyataan daripada pucuk pimpinan  sama ada di peringkat Putrajaya mahupun  Kedah mengenai pandangan ataupun respons terhadap penyebaran Bible yang berlaku di Kedah.

"Kita tidak mahu, anak-anak umat Islam menerima Bible di tangan mereka, kita tidak mahu kejadian murtad ini berlaku. Kami tidak datang atas warna parti politik,  walaupun dikatakan kedatangan kami ada agenda lain,  sebenarnya tidak,"katanya.

Justeru, beliau juga turut menggesa pihak kerajaan negeri  mengambil tindakan segera dalam isu itu kerana bimbang insiden boleh menyemarakan api perkauman sehingga peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 berulang.

"Kami sebagai umat Islam, hormat kepada sahabat dari bukan beragama Islam. Kami bangsa Melayu, menghormati mereka (bukan Islam).

Itu juga diharapkan daripada mereka, hormatlah kami seperti dilakukan oleh kami,"katanya.