• Felda Sahabat Felda Sahabat
1 /

GUGUSAN Felda Sahabat tiba-tiba terkenal di mata dunia.

Masakan tidak. Sejak pencerobohan pengganas selatan Filipina di Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu, semuanya terarah ke Felda Sahabat yang berkeluasan lebih 106,000 hektar itu.

Lebih membuka mata dunia, 10 perwira negara gugur ketika menentang penceroboh yang ingin merampas Sabah daripada kita.

Sebelum ini saya tidak mengetahui di mana Felda Sahabat, walaupun saya generasi Felda dari Felda Gunung Besout Satu, Sungkai Perak.

Peluang yang diberikan untuk membuat liputan di lokasi kejadian digunakan sebaiknya. Segala perit getir pejuang mempertahankan kedaulatan negara terpampang di depan mata.

Mereka meninggalkan dan melupakan seketika keluarga, isteri dan anak-anak di rumah semata-mata mempertahankan negara dari petualang durjana.

Selain daripada melihat kesungguhan perwira negara bergadai nyawa, ada satu lagi perkara yang menarik perhatian saya sepanjang 11 hari membuat liputan di Felda Sahabat.

Ada banyak peniaga berpayung di persimpangan jalan dan di kaki lima deretan kedai. Mereka menjual rokok keretek yang dilarang penjualannya di dalam negara kita.

Penduduk di situ menerangkan kepada saya bahawa mereka merupakan warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen sah.

Saya berkesempatan menemu bual seorang peniaga, hanya mahu dikenali sebagai Wise, yang berusia 28 tahun.

Wanita itu mendakwa masuk secara haram dan tinggal di Sabah sejak berumur 2 tahun. Membesar dan terus belajar cara hidup masyarakat Sabah amnya.

“Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, berumur tiga dan lima tahun. Saya dapat hasil jualan rokok keretek sebanyak RM100 hingga RM200 sehari.

“Saya dapat daripada pembekal barangan seludup,” ceritanya bersungguh kepada saya.

Menyambung perbualan, Wise memberitahu dia pernah ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada 22 Februari tahun lalu.

“Enam bulan saya meringkuk dalam penjara. Lepas tu, saya dihantar pulang ke Filipina, tetapi tidak lama. Sebulan kemudian dengan bayaran 1 juta Peso (RM200), saya pijak semula tanah Sabah.”

Timbul persoalan di benak fikiran saya. Cukup mudah wanita ini membolosi semula ke negara kita. Adakah dia tidak serik atau dia sememangnya tahu dapat masuk dengan mudah?

Geram bila mendengar pengakuannya itu. Lebih menyakitkan hati, Wise mengaku juga pernah ditahan oleh Jabatan Imigresen pada tahun 2006.

“Saya ditahan selama seminggu. Selepas itu saya bebas.”

Sungguh ‘bertuah’ nasib wanita itu yang juga mendakwa pernah memohon kewarganegaraan tetapi tidak diluluskan.

“Ramai sedara saya dari Filipina berada di sini. Saya juga kenal penduduk di sini.”

Ia terbukti dengan sapaannya kepada beberapa penduduk yang lalu dan tidak kurang juga yang singgah membeli. Dengan sapaan tersebut, satu lagi persoalan bermain di fikiran saya. Jika penduduk di sini mesra dan mengenali Wise, adakah masyarakat tempatan menerima kehadiran warga Filipina disitu termasuk Wise?

Saya menyimpulkan Wise sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat di sini.

Seorang penduduk, generasi kedua Felda berumur 30 tahun yang ditemui di sini bagaimanapun menafikan apa yang saya fikirkan sebelum ini. Jelasnya, tidak semua penduduk berasa selesa dengan kehadiran pendatang haram di sini.

“Saya sayangkan Sabah. Mereka tidak sepatutnya berada di sini. Ini merupakan gambaran awal mengapa kampung kami dengan mudah dicerobohi pengganas.

“Orang besar Felda, polis, penguatkuasa tidak semua berasal dari Sabah. Selepas pencen mereka tinggalkan kawasan ini. Yang tinggal adalah kami. Generasi Felda yang membesar dan menghadap kebanjiran pendatang setiap hari.

“Kejadian berdarah ini seharusnya menjadi pengajaran buat semua. Saya tidak mahu lagi peristiwa ini berulang,” luahnya kesal.

Benar apa yang dikatakan oleh pemuda itu. Bukan dia sahaja yang sayangkan Sabah tetapi saya dan kita semua.

Sepanjang 12 hari saya di sini, Felda Sahabat 16 ibarat perkampungan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang sedang melaksanakan Op Daulat.

Sepanjang tempoh itu juga, saya lihat Wise dan peniaga lain atau rakan-rakannya tidak sedikit pun merasa gerun dengan kehadiran penguatkuasa. Mereka meniaga seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Mungkin mereka 'kebal',” hati kecil saya mengeluh.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga mengingatkan bahawa pendatang haram boleh menjadi ‘ready army’ untuk memusnahkan negara kita sekiranya mendapat arahan daripada pemerintah mereka.

Kejadian serangan pengganas ini seharusnya menjadi iktibar buat kita. Baik masyarakat, penguatkuasa mahupun ahli politik. Kita seharusnya berganding bahu dalam memastikan kedaulatan negara terjamin sepanjang masa.

Dalam situasi kehadiran pendatang asing di Felda Sahabat, siapa yang harus dipersalahkan? Masyarakat, penguatkuasa, pengurusan Felda atau kerajaan yang memerintah?

Saya tinggalkan persoalan tersebut untuk kita berfikir kerana saya pasti di hati kita sama-sama tercetus rasa, 'kita sayangkan Sabah!'