BAGAN DATUK - Sebuah kilang ikan tuna terbesar di negara ini bakal dibina di atas tanah seluas 8.1 hektar di Bagan Hutan Melintang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan membina kilang tersebut dilakukan selepas melihat beberapa faktor antaranya sumbangan Perak sebagai salah sebuah penyumbang terbesar hasil laut di negara ini.

“Perak menyumbang 25 peratus hasil laut negara dan kebanyakkan hasil tersebut datangnya dari Bagan Hutan Melintang dan Bagan Datuk kerana itu kita memerlukan sebuah kilang besar bagi menambah hasil ini.

“Selain itu, rakan-rakan nelayan serta Persatuan Hai Suah Hutan Melintang juga turut berjumpa dengan saya meminta agar dibuka sebuah kilang ikan tuna di Bagan Hutan Melintang,” katanya ketika berucap pada Jamuan Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-35 Persatuan Hai Suah Hutan Melintang dan Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di Tokong Xien Fa Shi Gong, Hutan Melintang, malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya juga sudah berjumpa dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) agar menyediakan tanah seluas 8.1 hektar di Bagan Hutan Melintang untuk membina kilang berkenaan.