KUALA LUMPUR - Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak seharusnya menuding jari terhadap kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum ini berikutan kegagalannya menyelesaikan  masalah  ada kilang beroperasi secara haram di negeri itu sehingga menimbulkan masalah kesihatan kepada orang ramai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata selaku kerajaan yang memerintah sesebuah negeri, DAP seharusnya bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang dihadapi di negeri berkenaan.

"Yang penting, apabila kita telah diberi peluang untuk membentuk sebuah kerajaan, penting untuk kita menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam negeri tersebut.

Kalau adanya kilang-kilang haram di negeri tersebut, sudah tentu kerajaan bertanggungjawab untuk menyelesaikan. Ini yang amat penting kerana kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang boleh menyelesaikan masalah," katanya selepas melancarkan Buku Bajau – Pahlawan di Laut, Perwira di Darat karya Musli Oli hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilapor menyalahkan kerajaan negeri BN dahulu kononnya DAP hanya mewarisi masalah  kilang  beroperasi secara haram di Sungai Lembu daripada pentadbiran terdahulu sebelum mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu pada 2008.

Guan Eng dilaporkan sebagai berkata kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, kilang, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram yang wujud sebelum 2008 selagi ia tidak mengganggu orang ramai dan lalu lintas.

Ketua menteri itu dipetik sebagai berkata perkara itu dijadikan sebagai dasar kerajaan DAP selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri itu pada 2008.

Kenyataan Lim itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes kilang itu yang dipercayai memudaratkan kesihatan penduduk sekitarnya.

Salleh berpendapat masalah kilang haram itu sememangnya harus di selesaikan oleh kerajaan Pulau Pinang tanpa mengambil kira tempoh premis tersebut mula wujud dan beroperasi.

Malah, katanya, masyarakat di Pulau Pinang sendiri melihat isu tersebut daripada perspektif yang berbeza daripada Guan Eng yang seakan ingin menyalahkan pihak lain. - Bernama