SHAH ALAM - Ahli jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendedahkan telah membuat laporan kepada Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) pada 12 April lalu berhubung salah laku 1Malaysian Develpoment Berhad (1MDB).

Menurutnya, laporan tersebut dibuat ke atas nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama beberapa individu lain yang didakwa terpalit dalam isu skandal 1MDB.

“Semasa di ibu pejabat FBI di New York, saya turut menulis surat pada Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk memaklumkan kepada beliau mengenai salah laku Najib yang telah menyelewengkan dana kerajaan serta duit rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua laporan lain turut dibuat sebelum perkara tersebut dipanjangkan kepada pihak FBI.

Dalam kenyataan sama, beliau turut meluahkan rasa bersyukur kerana selepas empat tahun, akhirnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula bertindak ke atas laporan-laporan yang telah dibuat pada 2014.

“Sekarang, walaupun PDRM dan SPRM lambat bertindak, namun di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan  dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, akhirnya pihak penguat kuasa undang-undang di Malaysia tidak mampu lagi menutup kes skandal ini,” ujarnya.

 

Khairuddin juga mahu supaya pihak berkuasa Malaysia menyiasat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali atas dakwaan “melindungi” Najib.