KOTA KINABALU - Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin memuji kecekapan dan kewibawaan Tabung Haji (TH) dalam mengurus dan mengendalikan jemaah haji dari Malaysia setiap tahun sehingga mendapat pengiktirafan dunia termasuk daripada kerajaan Arab Saudi.
 
Tun Juhar berkata, kejayaan TH adalah hasil sokongan dan doa semua umat Islam di Malaysia.
 
"Pengiktirafan ini diharapkan akan menjadikan Tabung Haji lebih bersemangat dan akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan ini sebaik-baiknya, Insya-ALLAH. Baru-baru ini, pengiktirafan turut diberikan oleh Muassasah, institusi di bawah Kementerian Haji Arab Saudi di mana Malaysia telah dinobatkan sebagai pengurus haji terbaik," katanya.
 
Tun Juhar berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Perdana Haji Musim 1436H/2015 Peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat) di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
 
Sebanyak 350 bakal jemaah haji dari Pantai Barat Sabah menghadiri kursus berkenaan yang turut dihadiri Pembantu Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengurus Besar TH Ahmad Sohaimi Abdul Rahim.
 
Menurut Tun Juhar, TH bukan sahaja mengambil berat hal berkaitan infrastruktur dan logistik operasi haji tetapi turut mengambil berat tentang persediaan kefahaman serta ilmu berkenaan haji oleh bakal jemaah.
 
Justeru, katanya TH mengambil inisiatif menganjurkan kursus haji setiap tahun untuk memberi ilmu serta pendedahan berkenaan ibadah haji agar bakal jemaah bersedia dari segi kefahaman ibadah, tuntutan fizikal dan persediaan rohani ketika menunaikan ibadah haji di Makkah.
 
Katanya, hasil daripada kursus haji, ia telah melahirkan jemaah haji berpengetahuan dan dapat melakukan ibadah haji dengan baik tanpa menimbulkan banyak masalah, sehingga diiktiraf sebagai antara jemaah haji berdisiplin dan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
 
"Ini terbukti apabila pihak berkuasa Arab Saudi sering kali memuji jemaah haji Malaysia sebagai jemaah haji yang mempunyai akhlak yang baik, berdisiplin serta sopan-santun. Oleh itu, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan terus kekalkan niat yang betul, disiplinkan diri dan menjaga nama baik Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang disegani," katanya. - Bernama 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bayaran haji RM9,980 bagi musim haji 2018M/1439H dikekalkan walaupun kos sebenar haji meningkat 15 peratus kepada RM22,450 berbanding RM19,550 pada musim haji yang lepas.
  • KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.
  • SEPANG - Semua urusan berkaitan haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya akan berpindah ke premis baharu iaitu Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula tahun depan.
  • SEREMBAN - Kerajaan Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Arab Saudi bagi membeli beberapa bidang tanah di Jeddah, Makkah dan Madinah pada hujung tahun ini.
  • KLANG - Tabung Haji hari ini menyampaikan sumbangan wang khairat kematian kepada waris jemaah haji, Mohd Ghazali Abd Rahim, 53, yang meninggal dunia di Madinah, Sabtu lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.