KETUA rombongan umrah dari Perlis meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Madinah.

Allahyarham Ahmad Choh, 68, meninggal dunia di atas pangkuan isterinya, Maimunah Saaid, 62, selepas azan Asar, kelmarin.

Jenazah Allahyarham difahamkan disemadikan di Tanah Perkuburan Al-Baqi selepas solat Maghrib (waktu Makkah).

Allahyarham Ahmad pengalaman hampir 10 tahun membawa jemaah menunaikan umrah.

Kebiasaanya, Allahyarham menguruskan jemaah lelaki manakala isterinya menguruskan jemaah perempuan.

Kali ini Allahyarham membawa 43 ahli rombongan dari Felda Mata Air, Padang Besar Perlis, bertolak dari tanah air pada 4 Disember lalu dan dijangka berada di tanah suci sehingga 14 Disember.

Anak Allahyarham, Azhar Ahmad, 36 yang turut bersama rombongan itu berkata, ayahnya tidak sihat sejak dari Malaysia lagi.

“Sebelum bertolak ke ke sini, arwah ditahan di wad selama tiga hari (26 hingga 28 November), tetapi minta keluar awal.     

“Walaupun tidak sihat, arwah gagahkan diri juga demi tanggungjawab. Namun sampai sahaja di tanah suci, arwah semakin teruk.

“Dia tidak lalu makan dan muntah-muntah. Jadi saya yang uruskan jemaah sepanjang arwah tidak sihat.

“Arwah meninggal di dalam hotel, atas pangkuan mak saya setelah selesai azan Asar. Bagaimanapun, kami sekeluarga reda. Kalau sudah ajalnya,” katanya. 

Bagi melengkapkan ibadat umrah jemaah yang lain, Azhar mengambil tanggungjawab untuk mengiringi mereka.

Kongsi Azhar lagi, sebulan sebelum berangkat ke Makkah, Allahyarham ayahnya sempat berjumpa dengan semua saudara-saudara terdekat dan juga melawat keliling kampung.

“Malah arwah juga sempat suruh bersih semua (sekitar kampung) sebelum berangkat.

“Arwah bawa saya kali ini lain sebab dia nak saya ambil alih kerja-kerja bawa jemaah,” tulisnya lagi.