BAGAN DATOH - Ketua Menteri atau Menteri Besar tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau menentukan sesuatu keputusan mengenai penggunaan kalimah ALLAH, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertua Negeri yang mewakili Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri berkenaan.

"Walaupun fatwa harus dilaksanakan di peringkat negeri dan hal ehwal agama Islam adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, tetapi kuasa eksekutifnya tidak  terletak kepada menteri besar atau ketua menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Air di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh di sini, hari ini.

Menurutnya ini selaras dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah memutuskan kalimah 'ALLAH' adalah eksklusif untuk umat Islam.

Beliau diminta mengulas mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang dilaporkan beberapa portal berita semalam, memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah ALLAH.

Lim dilaporkan berkata larangan penggunaan kalimah ALLAH yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.

Ahmad Zahid berkata, secara lazimnya Yang Dipertua Negeri memberikan kuasanya kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam atau ketua jabatan agama Islam negeri, bukannya hak mana-mana menteri besar atau ketua menteri untuk menyatakan pendirian dan fatwa bagi negeri-negeri berkenaan.

Ketika ditanya sama ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu apabila pembangkang terus menjadikan penggunaan kalimah ALLAH sebagai isu, beliau berkata polis akan mengambil tindakan.

"Pihak polis akan mengambil tindakan apabila ada laporan polis (dibuat), akan melakukan siasatan selepas kertas siasatan disiapkan, ia akan dikemukakan kepada pegawai pendakwa raya," katanya.

Menurutnya isu berkaitan hal ehwal agama Islam sepatutnya diserahkan kepada Mahkamah Syariah yang akan melakukan pendakwaan terhadap mana-mana pihak.   

"Tetapi kes-kes untuk orang bukan Islam, kita serahkan atas kebijaksanaan Mahkamah Syariah untuk melakukan tindakan," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Sekumpulan NGO Melayu dan Islam hari ini memberi teguran sinis terhadap Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya tidak tidur dan lalai terhadap penghinaan Islam...
  • PUTRAJAYA - Kecenderungan masyarakat termasuk ahli-ahli politik kebelakangan ini membicarakan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain...
  • BUKIT MERTAJAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berhasrat untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi memberi penjelasan tentang...
  • SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan pihak Gereja Katolik dalam penggunaan kalimah ALLAH dalam The Herald bagi edisi bahasa Melayu bertepatan dengan syarak dalam mengekalkan kedaulatan agama Islam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.