SHAH ALAM - BN sentiasa memastikan keselamatan negera terus dipelihara, meskipun berhadapan pelbagai cabaran baharu ketika ini.

Justeru, menurut Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak pentadbiran kerajaan di bawah pimpinannya telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan negara dan rakyat Malaysia dapat terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

"Antara lain, kita telah meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Pencegahan Keganasan atau Prevention of Terrorism Act (POTA), kerana kita bertekad untuk terus memastikan rakyat Malaysia dilindungi dan pasukan keselamatan kita dapat berkhidmat dan bekerja dengan bebas," jelasnya yang dikongsi menerusi catatannya di blog Najib.Razak.

Katanya, ini juga termasuk melindungi rakyat Malaysia daripada tempias kesan dan akibat berita palsu, yang semakin hari semakin berleluasa.

"Inilah juga sebabnya mengapa baru-baru ini kita meluluskan Akta Anti berita Tidak Benar 2018," katanya.

Jelasnya, berita palsu dan tidak benar ini mungkin nampak remeh, tapi sebenarnya membawa ancaman keselamatan yang besar, sepertimana yang dapat kita lihat di seluruh dunia di mana berita palsu dan tak benar digunakan sebagai alat campur tangan proses demokrasi oleh kuasa luar .

"Masa depan negara kita perlu ditentukan oleh rakyat Malaysia berasaskan fakta, bukan berita, janji atau harapan palsu semata-mata!.

"Alhamdulillah, melalui usaha yang telah Kerajaan BN di bawah kepimpinan saya laksanakan, kita berjaya memelihara kedaulatan, keamanan dan keharmonian di Malaysia yang kita cintai sehingga hari ini," katanya.

Dalam pada masa sama, katanya, kerajaan BN juga sedar bahawa menjaga keselamatan negara adalah usaha berterusan dan kita tidak boleh leka walau sesaat.