KUANTAN - Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) kesal dengan insiden membabitkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Umno Pahang yang dilihat seolah-olah tidak  hormati tugas wartawan dengan menghalang mereka membuat liputan Konvensyen Umno Pahang, kelmarin.

Presiden NUJ, Mohd Taufek Razak berkata, insiden seumpama itu bukan pertama kali berlaku, malah kali ini lebih memalukan kerana babitkan individu sama selain turut mengheret Umno negeri.

Katanya, wartawan jalankan tugas mengikut arahan ketua mereka dan jemputan diterima untuk liputan Konvensyen Umno itu.

“Jika tidak puas hati dengan mana-mana akhbar atau media sekalipun, jangan jadikan golongan wartawan yang turun membuat liputan sebagai mangsa melepaskan geram atau rasa tidak puas hati.

“Ia seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, NUJ menganggap tindakan mengusir wartawan daripada majlis itu sebagai tindakan tidak profesional dan membelakangkan prinsip saling memerlukan antara satu sama lain.

Beliau berkata, pihak yang  tidak puas hati dengan akhbar, media atau editor boleh menggunakan saluran perundingan yang lebih bermaruah berbanding jadikan wartawan yang hanya menjalankan tugas dan arahan ketua mereka sebagai mangsa.

Sehubungan itu, NUJ meminta menteri besar dan Umno Pahang memohon maaf bagi menjernihkan kembali keadaan.

“NUJ sebuah kesatuan mewakili wartawan arus perdana yang jelas tidak mempunyai kuasa untuk memboikot atau memutuskan hubungan dengan menteri besar dan Umno Pahang.

“Kami lebih menjuruskan untuk mewujudkan keharmonian hubungan agar semua pihak saling menghormati  antara satu sama lain dan memperoleh situasi menang menang,” katanya.

Mohd Taufek berkata, keputusan untuk memboikot hanya boleh dibuat oleh syarikat akhbar dan media yang terlibat itu sendiri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Media Malaysia dan Indonesia perlu bertanggungjawab dan berperanan lebih strategik bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara, kata Ketua Delegasi Korps Alumni Himpunan Mahasiswa (KAHMI) Forever Jalan Sihat, Ferry Murshidan Bardan.
  • KUALA LUMPUR - Kebebasan media di negara ini pada masa ini adalah lebih baik tanpa sebarang kongkongan atau agenda yang ditentukan lebih awal, terutama selepas berakhirnya era pentadbiran bekas pemimpin negara yang paling lama memerintah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • KUALA LUMPUR - Kepentingan media sosial kepada pelajar tidak dapat dinafikan, khususnya dalam mendapat informasi dan maklumat terkini.
  • PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau kehadiran akaun-akaun media sosial palsu serta menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
  • BESTARI JAYA - Kebangkitan media digital yang terlalu pantas membunuh media cetak pada hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.