SYDNEY - AUSTRALIA. Australia akan memperuntukkan  AUD$30 juta bagi membantu Asean membangunkan bandar raya  pintar dan lestari di seluruh rantau itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Inisiatif Bandar Raya Pintar Asean-Australia itu diumumkan pada hari terakhir Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia, bagi memupuk kerjasama dalam pembangunan  bandar raya pintar dan menggalakkan integrasi ekonomi serantau.

Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata Australia akan menyediakan latihan dan bantuan teknikal bagi membangunkan masyarakat berdaya tahan dan kompetitif termasuk menerusi pembangunan  Rangkaian Bandar Raya Pintar Asean.

Beliau berkata Australia juga akan menyokong usaha untuk memajukan pembandaran  lestari di Asean dan menubuhkan forum pembandaran serantau.

“Australia mempunyai kepakaran bertaraf dunia untuk dikongsi  dalam bidang seperti infrastruktur hijau, tenaga boleh diperbaharui dan analisis data. Australia mempunyai sejarah yang panjang dari segi kerjasama dengan negara tetangga rapat kami bagi menyokong pembangunan serantau. Kami mahu bekerjasama dengan Asean ke arah rantau yang lebih stabil dan makmur,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, bandar raya Asean berkembang pada kadar yang luar biasa dengan lebih 90 juta rakyat dijangka berpindah ke kawasan bandar di seluruh  rantau Asia Tenggara menjelang 2030.

“Apabila bandar raya berkembang, begitu juga kemakmuran, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi. Bagi memanfaatkan peluang ini, bandar raya memerlukan penyelesaian inovatif, perancangan pintar dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia Malcom Turnbull dalam ucapan pembukaannya pada sesi pleno pemimpin sidang kemuncak berkenaan, berkata negara tersebut komited sepenuhnya  untuk menyokong Asean sebagai penganjur strategik di rantau tersebut.

“Sejak lebih 50 tahun lalu, Asean menggunakan pengaruhnya untuk meredakan ketegangan, memupuk keamanan, menggalakkan kerjasama ekonomi dan memberi sokongan bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Acara yang berlangsung  minggu ini menunjukkan betapa hidup dan dinamiknya perkongsian strategik Asean-Australia,” katanya.

Beliau berkata pemimpin perniagaan dari Australia dan Asean memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan serta peluang lain manakala agensi keselamatan dan penguat kuasa undang-undang pula melindungi rantau daripada keganasan serta ancaman lain.

“Pelajar kita, komuniti kita, institusi pendidikan, kebudayaan dan sukan kita juga saling terlibat dan belajar daripada satu sama lain bagi manfaat bersama,” kata Turnbull.

Beliau berkata sehubungan itu,  pemimpin harus memberi respons dengan inisiatif yang boleh dilihat bagi  kerjasama baharu dalam bidang ekonomi dan pendidikan serta isu-isu keselamatan.

“Kita ada agenda yang penuh namun ia turut menjadi peluang untuk memperluas kepentingan bersama kita,” katanya.

Australia menganjurkan sidang kemuncak itu buat pertama kali. Persidangan dua hari tersebut bermula Sabtu merangkumi tiga sesi iaitu Sidang Kemuncak Pemimpin Asean-Australia, Sidang Kemuncak Perniagaan Asean-Australia dan Persidangan Antikeganasanan Asean-Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu. - Bernama