PUTRAJAYA - Syarikat dan universiti digesa meningkatkan kerjasama bagi melahirkan siswazah yang dapat bersaing dalam dunia tanpa sempadan dan tenaga kerja  dengan  perspektif antarabangsa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, universiti perlu menggandakan usaha untuk menghasilkan siswazah yang bukan sahaja boleh digaji tetapi juga mampu bersaing di peringkat global.

“Program seperti ‘Seeds For The Future’ oleh Huawei ini adalah antara kerjasama yang Kementerian  Pendidikan mahu universiti sertai,” katanya semasa berucap pada pelancaran ‘Seeds for the Future 2018 ’ Huawei Malaysia, di sini hari ini.

Menerusi program edisi kelima itu, 10 penuntut kejuruteraan elektrik dan sains  komputer  dari beberapa universiti di negara ini akan dibawa mengikuti lawatan sambil belajar selama dua minggu ke Beijing dan ibu pejabat Huawei di Shenzen, China bermula 12 hingga 27 Okt ini.

Ditaja sepenuhnya oleh Huawei Malaysia, lawatan itu akan mendedahkan penuntut kepada  pengkomputeran awan, Internet of Things, teknologi 5G serta lain-lain menerusi bengkel teknologi dan program jaringan kerja selain mengikuti kelas berkaitan kebudayaan termasuk mempelajari bahasa Mandarin dan kaligrafi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Baker Zhou berkata, Huawei  percaya  penyelidikan dan pendidikan adalah asas untuk membangunkan serta menghidupkan industri.

Huawei sentiasa dan akan terus memberi sokongan padu terhadap usaha pembangunan industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) tempatan menerusi pendidikan, perpindahan  pengetahuan  ICT dan kerjasama industri-akademik, katanya.

Seeds For The Future merupakan program tanggungjawab sosial korporat global utama Huawei  yang dilaksanakan  di 95 negara dengan lebih 2,700 pelajar universiti dibawa melawat ibu pejabat Huawei.

Seorang peserta, Mohd Hafizul Ikhwan, 20, pelajar tahun dua kejuruteraan elektrik Universiti Multimedia,  berkata dia teruja untuk menimba pengetahuan baharu berkenaan inovasi dan aplikasi mudah alih ketika lawatan itu.

Lim Yii Vonne, pelajar tahun akhir sains komputer Universiti Malaysia Sarawak pula berkata, selain mempelajari teknologi terkini daripada Huawei dia ingin mencari kenalan baharu. -Bernama