SHAH ALAM - Kerja-kerja menanggal papan tanda mempunyai tulisan bahasa Cina di sini yang bermula semalam telah selesai dan kerja menggantikannya dengan papan tanda menggunakan  hanya bahasa Melayu dijangka selesai pada akhir bulan ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad dalam kenyataannya berkata, sebanyak 45 unit papan tanda jalan yang mempunyai tulisan bahasa Cina telah ditanggalkan oleh petugas bermula semalam.

"Kerja-kerja pemasangan papan tanda jalan yang hanya mempunyai bahasa Melayu pula akan dijalankan secara berperingkat dalam masa terdekat, papan tanda baharu pula dijangka selesai dipasang pada penghujung bulan ini (November)," katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin lepas dilaporkan menitahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Menurut kenyataan MBSA itu, operasi penukaran papan tanda jalan berkenaan akan dilaksanakan dengan segera dan diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor pada 11 Disember ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai Twitter milik seorang penduduk Shah Alam yang mempersoalkan kewajaran papan tanda nama jalan di kawasannya ditulis dengan bahasa Cina.

MBSA ketika memberi maklum balas kepada pengguna Twitter tersebut memaklumkan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor pada 13 Januari 2017 memutuskan penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa termasuk tulisan rumi. - Bernama