KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin kerja-kerja membaiki kerosakan di bahagian bumbung Stadium Shah Alam akibat cuaca buruk Khamis lepas disiapkan sebelum  Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang bermula bulan depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, tinjauan Ketua Setiausaha KBS Datuk Lokman Hakim Ali semalam mendapati, ada beberapa bahagian termasuk panel dan bumbung perlu diganti dan kerja-kerja penambahbaikan tersebut telah diarahkan bermula dengan segera.

“Saya telah setuju kerja penambahbaikan dilakukan secepat mungkin kerana Sukan SEA akan bermula tidak sampai sebulan lagi. Hari ini, KBS, Kerajaan Selangor, selaku tuan punya stadium dan Majlis Bandaraya Shah Alam sedang berbincang skop penambahbaikan dan kerja-kerja membaiki kerosakan.

“Walaupun kerajaan Selangor tuan milik stadium, tetapi dalam hal ini, kita perlu ada kerjasama  kerana mereka ada kekangan kewangan. Saya yakin, kerja-kerja membaiki kerosakan ini akan disiapkan dan selamat digunakan sebelum Sukan SEA bermula, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Dialog TN50 x: Profesional Muda Petronas Merencana Masa Depan yang turut dihadiri Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Kerosakan bahagian bumbung Stadium Shah Alam yang menjadi antara venue acara bola sepak KL2017 mendapat perhatian apabila ada objek terjatuh akibat angin kencang dan hujan lebat ketika perlawanan persahabatan Malaysia B-22 dan Myanmar B-22, Khamis lalu.

Insiden itu menyebabkan perlawanan dihentikan beberapa minit sebelum disambung semula. - Bernama


 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.