KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meningkatkan kelajuan internet secara berterusan dengan pemasangan lebih banyak fiber dan pemberian spektrum kepada syarikat telekomunikasi (Telco), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata bagi perkhidmatan 4G dan 3G, kerajaan tetap memberi fokus kepada pemberian akses untuk rakyat di setiap pelusuk negara.

“Untuk memastikan pembangunan komunikasi lebih menyeluruh, kerajaan  juga memberi subsidi peranti kepada golongan yang dikenal pasti dan akses kepada kemudahan-kemudahan internet untuk komuniti luar bandar melalui 800 Pusat Internet 1Malaysia di seluruh negara," katanya menerusi laman Twitter beliau malam ini.

Salleh berkata kesemua  inisiatif itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk memberi akses saksama kepada setiap lapisan masyarakat. - Bernama