PAPAR - "Kerajaan akan menanggung kos subsidi jemaah haji sebanyak RM230 juta pada tahun ini bagi memastikan bayaran haji bagi setiap jemaah Malaysia kekal RM9,980 seorang," kata Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata, kos tanggungan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu umat Islam di negara ini sekali gus memastikan mereka dapat melaksanakan tuntutan Rukun Islam kelima itu.

"Kos sebenar menunaikan haji ialah RM19,550, namun, kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM9,570 seorang bagi yang pertama kali mengerjakan haji. Jemaah Malaysia hanya membayar RM9,980 seorang. Dan, untuk tahun ini, kerajaan akan menanggung sejumlah RM230 juta subsidi haji.

"Hanya kerajaan Malaysia sahaja yang memberi subsidi untuk rakyatnya menunaikan haji. Untuk itu, rakyat Malaysia perlu bersyukur dan berterima kasih," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pada Program Ziarah Kasih Ramadan bagi kawasan Parlimen Kimanis anjuran Yayasan Tabung Haji dan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Umno di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif selaku Adun Membakut dan Adun Bongawan Datuk Mohamad Alamin.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Azeez berkata, terdapat kira-kira 2.5 juta umat Islam di negara ini direkodkan telah mendaftar di Tabung Haji setakat ini.

Beliau berkata, umat Islam yang baharu mendaftar di institusi itu pada tahun ini perlu menunggu giliran selama 102 tahun untuk ke tanah suci.

Dalam pada itu, Abdul Azeez mengingatkan semua pendeposit Tabung Haji untuk terus kekal menabung dan jangan sama sekali mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang mendakwa institusi itu bankrap. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pemberian Visa Furada (visa urusan sendiri) kepada mana-mana individu atau syarikat terpilih yang menawarkan pakej haji adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi, kata Lembaga Tabung Haji (TH).
  • KUALA LUMPUR - Bayaran haji RM9,980 bagi musim haji 2018M/1439H dikekalkan walaupun kos sebenar haji meningkat 15 peratus kepada RM22,450 berbanding RM19,550 pada musim haji yang lepas.
  • KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.
  • SEPANG - Semua urusan berkaitan haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya akan berpindah ke premis baharu iaitu Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula tahun depan.
  • SEREMBAN - Kerajaan Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Arab Saudi bagi membeli beberapa bidang tanah di Jeddah, Makkah dan Madinah pada hujung tahun ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.