SEPANG - Kerajaan tidak akan melindungi syarikat penerbangan tempatan di tengah-tengah persaingan dengan syarikat penerbangan asing yang memilih untuk beroperasi di Malaysia, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Sebaliknya katanya, lebih banyak syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia akan mempromosikan persaingan yang sihat.

"Kita mengalu-alukan persaingan dan kita ingin melihat lebih banyak persaingan. Kita tidak melindungi. Kita mahukan pasaran yang kompetitif, bukannya pasaran yang dlindungi,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung syarikat penerbangan kos rendah terbesar India, IndiGo, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di terminal dua (klia2), hari ini.

Pesawat Airbus A320 yang membawa 140 penumpang itu diberikan sambutan tradisional meriam air sebaik mendarat di lapangan terbang berkenaan pada jam 10.34 pagi.

Mengalu-alukan IndiGo sebagai syarikat penerbangan penumpang ke-59 yang beroperasi dari KLIA, Loke berkata, beliau yakin bahawa syarikat penerbangan India itu yang ditubuhkan pada 2005 akan memberikan sumbangan kepada pergerakan penumpang di KLIA.

“Kita melihat India sebagai pasaran besar yang boleh diterokai dan melihat pertumbuhan bersama untuk menawarkan tambang rendah, bebas masalah serta lebih kekerapan dan pergerakan,” katanya

Katanya, Malaysia menyasarkan untuk menarik 1.9 juta pelancong dari India dalam masa beberapa tahun. Pada 2017, kira-kira 552,000 pelancong India melawat Malaysia.

Loke juga mencadangkan IndiGo meningkatkan operasi penerbangannya dan terbang ke destinasi lain di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Kota Kinabalu dan Johor.

"Ini akan memberikan sambungan yang hebat dan kedudukan Malaysia sebagai hab global yang diminati,” katanya.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd, Raja Azmi Raja Nasuddin dan Ketua Pegawai Komersial IndiGo, William Boulter. - Bernama