KUALA LUMPUR - Kerajaan amat menghargai usaha badan bukan kerajaan (NGO) membantu masyarakat tanpa mengharapkan sebarang balasan dan bersedia menghulurkan bantuan sama ada dari segi kewangan ataupun dalam bentuk infrastruktur kepada NGO atau pertubuhan sukarelawan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pertubuhan sukarelawan yang berdaftar boleh memohon bantuan kewangan dalam bentuk geran melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti geran pentadbiran, rangsum, pembaikan dan elaun khas murid Orang Kurang Upaya (OKU).

"Kerajaan juga ada menyediakan bantuan khas pembendaharaan iaitu bantuan kewangan diagihkan kepada NGO bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

"Badan sukarelawan yang berdaftar juga boleh memohon untuk pengecualian cukai," katanya dalam catatan blog www.najibrazak.com hari ini.

Beliau berkata kerajaan menggalakkan lebih banyak NGO ditubuhkan supaya tiada golongan kurang bernasib baik terlepas daripada perhatian kerajaan.

Najib berkata kerajaan juga berharap agar dapat bekerjasama secara langsung dengan NGO supaya lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan.

"Jumlah penduduk di Malaysia kini sudah melebihi 32 juta orang. Adalah mustahil bagi kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan untuk menjaga kebajikan setiap penduduk.

"Sebab itulah wujudnya badan bukan kerajaan iaitu NGO, pertubuhan sukarelawan yang tidak mengambil apa-apa keuntungan dalam menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik seperti gelandangan, warga emas, anak yatim dan lain-lain," katanya. - Bernama

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Persatuan India Muslim Perak (PRIM), mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baharu bagi menggantikan Tel Aviv, baru-baru ini.
  • KUALA LUMPUR - Syarikat yang mendapat projek-projek kerajaan akan diminta menyediakan kad laporan bagi melihat pembabitan mereka dalam membantu rangkaian syarikat bumiputera.
  • BERA - Kerajaan membelanjakan kira-kira RM70 juta untuk membayar bil elektrik bagi program Lampu Jalan Kampung (LJK) di seluruh negara pada tahun lalu, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • SHAH ALAM - Kempen kemanusiaan SINAR4ROHINGYA berjaya menyatukan pelbagai pihak terutama NGO di dalam dan luar Malaysia.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM308 juta bagi menyediakan 2.2 juta set dekoder percuma kepada golongan berpendapatan rendah untuk menikmati perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview.