SHAH ALAM - Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa kerajaan PH gagal untuk mempertahankan harga sawit daripada terus jatuh setiap bulan.

Katanya, harga minya sawit bagi Disember hanya RM1,775 satu tan dan jumlah tersebut hampir 50 peratus lebih rendah pada akhir 2016.

"Pada ktober 2016 dalam Bajet 2017, kerajaan BN terpaksa mengehadkan subsidi minyak masak kepada pek satu kilogram berharga RM2.50 sahaja kerana harga minyak sawit naik dan sekitar RM3,000 satu tan.

"Langkah itu juga diambil bagi membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran yang merugikan negara. Oleh itu, harga minyak masak pada masa itu naik kerana mengikut harga pasaran. Dengan penjimatan ini, kerajaan BN masa itu dapat meningkatkan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit dicatatkan terus menunjukkan penurunan dan dijangka harga itu akan terus jatuh minggu ini.

Beliau berkata, harga sawit jatuh merundum dengan teruk berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/nasional/tak-pernah-lihat-harga-sawit-seteruk-ini-kata-najib-1.905809]

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kerajaan PH masih tegas untuk mengurangkan atau memansuhkan bantuan kepada pekebun, petani dan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada rakyat untuk tahun depan, mengapa mereka tidak mahu memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak sawit.

"Adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah mula berbincang dengan pengusaha dan kilang minyak masak dalam memastikan mereka akan menurunkan harga jualan minyak masak mereka?

"Jika bantuan kepada rakyat telah dipotong dan dimansuhkan oleh kerajaan PH, sekurang-kurangnya rakyat boleh mendapat sedikit manfaat dari kejatuhan harga minyak masak," katanya.