KUALA LUMPUR - Majlis Permuafakatan NGO Felda mahu kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) bukan hanya menunaikan janji menghapuskan 50 peratus hutang peneroka Felda seperti mana yang disenaraikan dalam manifesto 100 hari Harapan, tetapi turut membantu dalam penyelesaian hutang peneroka untuk jangka masa panjang.

Pengerusinya, Mazlan Aliman, berkata, mekanisme terbaik perlu dikenal pasti dalam menunaikan janji berkenaan yang disifatkan sebagai penyelesaian jangka pendek.

Menurutnya, pihaknya bersedia memberi kerjasama dalam memastikan isu berkenaan dapat dilaksanakan sewajarnya.

"Kita faham dalam hal ini ia memerlukan masa. Tapi sebagai langkah pertama, Felda perlu mengenal pasti jumlah sebenar hutang peneroka sebelum mencari mekanisme terbaik.

"Dalam masa sama, disebabkan isu hutang peneroka adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian, penghapusan 50 peratus hutang tidak akan memberi penyelesaian total kepada masalah peneroka. Ini kerana peneroka yang terlibat dengan program penanaman semula akan terus terlibat dengan hutang.

"Sebab itu ada hutang peneroka yang mencecah RM60,000 hingga RM80,000. Malah ada juga sehingga RM100,000," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama dengan wakil beberapa NGO Felda lain mengadakan pertemuan dengan  Pengarah Besar Felda, Datuk Ab Ghani Mohd Ali.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, beberapa isu melibatkan kepentingan peneroka dan generasi Felda dibincangkan terutamanya membabitkan masalah hutang peneroka.

Mazlan berkata, dengan pertemuan pertama itu, pihaknya positif mampu mewujudkan kerjasama baik dengan Felda untuk membela nasib peneroka dan generasi Felda.