KUALA LUMPUR - Kerajaan memandang serius permohonan bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil yang mahu kerajaan membuka semula siasatan kes anaknya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kes Nurin Jazlin tidak sepatutnya tergantung tanpa sebarang tindakan.

"Saya memang tanya kes ini, lagi-lagi kes budak meninggal. Tragedi yang berlaku tak kan NFA? (tiada tindakan lanjut).

"Bagi pihak kementerian, kita nak ketengahkan kes macam ini. Saya yang pergi melawat keluarga Nurin Jazlin, kalau boleh nak tahu bagaimana cara nak buka semula kes ini seperti kes Teoh Beng Hock dan Altantuya,"katanya dalam wawancara eksklusif Sinar Harian di pejabatnya di Parlimen, baru-baru ini.

Ketika ditanya, adakah kerajaan akan mengarahkan pihak berkuasa membuka semula siasatan kes Nurin Jazlin, Wan Azizah berkata, beliau perlu mengetahui bagaimana prosedur sesuatu kes dibuka semula.

"Kena tengok proses dulu, apakah daripada bapanya, sebab ini kes polis. Saya kena semak dulu.

"Saya sendiri tanya kes ini, tetapi tidak mendapat jawapan yang jelas,"katanya.

Bapa Nurin Jazlin,Jazimin Abdul Jalil menggesa polis meneruskan siasatan kes anaknya.

Menurutnya, kes tersebut tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Pada 16 Julai lalu, dalam temubual Sofa Sinar, anjuran Sinar Harian, Jazimin menggesa polis meneruskan siasatan kes anaknya dan campur tangan kerajaan agar kes itu dibuka semula.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin, 8, hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Usaha pelbagai pihak mencari mangsa di sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain gagal menemui kanak-kanak itu, namun selepas 27 hari kehilangannya, negara dikejutkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian ditinggalkan di sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam seorang lelaki menunggang motosikal telah meletakkan beg sukan, mengandungi mayat kanak-kanak perempuan itu.

Pengecaman mayat telah dilakukan Jazimin sekeluarga, namun dia enggan mengakui mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.