RAUB - Kerajaan Negeri Pahang digesa mengambil tindakan proaktif bagi menghalang tanah yang dibangunkan oleh anak syarikatnya, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK) di Pamah Lebar memasuki sungai berhampiran.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mendakwa Pahang tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam pembangunan kawasan pertanian.

“Penduduk terpaksa menghadapi gangguan bekalan air kerana pembangunan pertanian di hulu tidak dikawal dan tiada SOP,” katanya

Menurutnya, zon penampan sungai turut diceroboh dan ditanam dengan melakukan aktiviti pertanian.

“Tinjauan udara dan darat mendapati pemilik tanah  bukan sekadar membangunkan kawasan berkenaan sebaliknya turut menceroboh zon penampan sungai,” katanya.

Beliau berkata, loji air terpaksa di tutup selepas hujan lebat kerana kualiti air sungai yang  tercemar disebabkan oleh lumpur tanah.

“Perkara Ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pertanian serta pembukaan tanah ladang secara besar- besaran di hulu sungai,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hutan Raub dinoda]

Tengku Zulpuri mendakwa pemilik kawasan itu tidak meletakkan penahan lumpur bagi mengelakkan tanah memasuki sungai.

“Jelas apa yang berlaku disebabkan oleh kawasan pembangunan pertanian yang tidak dikawal oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian jangka masa panjang perlu diambil kerajaan negeri kerana Kerajaan Pusat tidak mempunyai bidang kuasa.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya namun Kerajaan Persekutuan sedia bekerjasama sekiranya mereka membuka kuasa kepada kami,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sepucuk surat rasmi mengenai perkara itu akan dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Tengku Mahkota dan Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah minggu hadapan.

Sebagai Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri berkata penyelesaian jangka pendek telah diambil pihaknya bagi mengatasi masalah itu.

“Sebanyak 20 tangki air statik berkapasiti 400 gelen  telah dibeli secara berperingkat dan diagihkan bagi menampung keperluan penduduk ketika menghadapi gangguan bekalan air.

“Kami juga bersedia berbincang dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) agar dapat menghulurkan bantuan dan kepakaran mengikut kemampuan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji undang- undang sedia ada agar tindakan dapat diambil terhadap mereka yang gagal mematuhinya.

“Kalau tidak ubah, sampai bila- bila pun masalah ini tidak akan selesai. Apabila hutan sudah tiada, kita akan alami masalah air yang sangat kritikal,” katanya.