PUTRAJAYA - Kerajaan komited untuk melindungi rakyat yang tinggal di sepanjang pantai serta persekitaran pesisir pantai dan ini terbukti melalui  peruntukan RM624.5 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 untuk menguruskan pesisir pantai.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata peruntukan itu adalah untuk projek-projek melibatkan antara lain penjagaan  pantai, pembinaan tembok untuk menahan ombak,  benteng dan tembok untuk lindungi pesisir daripada hakisan.

“Projek ini bertujuan untuk memanfaatkan kawasan pesisir pantai sepanjang 45.38 km, 250,000 orang yang tinggal di sepanjang pantai dan juga melindungi  kerosakan harta benda awam sehingga RM75 juta,” kata beliau dalam ucapan pada Simposium Antarabangsa mengenai Hakisan Pantai dan Alam Sekitar 2018 di sini hari ini.

Sebanyak 28 kertas kerja akan dibentangkan pada simposium selama dua hari itu yang dihadiri oleh 250 peserta dari dalam dan luar negara, yang bermula hari ini.

Beliau berkata Malaysia terus mencari kaedah-kaedah inovatif untuk melindungi kawasan pesisir pantainya.

"Kami mengalu-alukan pertukaran idea, teknologi baharu dan amalan terbaik antarabangsa demi melindungi hakisan pantai,” kata beliau.

"Menangani hakisan pantai perlu diberi perhatian dalam dasar awam kerana kemusnahan pesisir pantai akhirnya akan menyebabkan kerugian ekonomi yang berbeza-beza,” kata beliau.- Bernama