PUTRAJAYA - Golongan wanita Malaysia akan diberikan peluang untuk menjawat jawatan besar dalam pelbagai bidang di negara ini pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan menganggap wanita Malaysia amat penting dalam agenda pembangunan negara, sekali gus mengiktiraf sumbangan serta kudrat yang telah diberikan oleh golongan tersebut.

“Pada pembentangan Bajet 2018, saya telah mengumumkan bahawa tahun 2018 adalah tahun memperkasakan wanita.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita beriltizam untuk sentiasa meninggikan peranan dan seterusnya martabat wanita di dalam negara. Rekod kita sangat baik dalam hal ini, tetapi kita belum lagi berpuas hati,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo dan Branding Tahun Memperkasakan Wanita 2018 di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim serta beberapa menteri Kabinet lain.

Katanya, golongan wanita boleh membuat keputusan besar baik dalam sektor awam serta swasta sekiranya lebih ramai diletakkan di jawatan besar dalam beberapa bidang lain.

“Negara-negara lain yang selama ini tidak menunjukkan komitmen mereka ke arah memperkasakan wanita sudah pun sedar, sekiranya wanita dikesampingkan maka negara berkenaan tak mungkin berjaya. Apatah lagi dalam era globalisasi, dalam konteks Revolusi Perindustrian 4.0.

“Hari ini, beberapa program signifikasi (diperkenalkan) seperti Investment Literacy, Malaysia Woman Made, Impact for Humanity Woman, IR4.0. Saya yakin dan percaya jika semua program ini dilaksanakan sepenuhnya, kita akan dapat menyaksikan peningkatan wanita dalam konteks arus pembangunan negara kita,” ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :