KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sentiasa komited untuk menjaga kepentingan bumiputera.

Malah katanya, kerajaan memberi sepenuh jaminan bahawa  tidak akan menganiaya bumiputera dalam mendepani cabaran ekonomi pada masa mendatang.

Untuk itu katanya, Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara (KBN 2018) yang diadakan hari ini dapat membantu kerajaan dalam memperkasakan agenda bumiputera.

"Bukan kita berada di sini untuk menganiaya kaum dan bangsa kita sendiri.

"Saya harap kongres ini serius dalam usaha memperbaiki nasib bumiputera dan orang Melayu. Kongres ini perlu serius untuk melakukan keputusan yang baik jika ada.

“Kalau ia terhad kepada meminta-minta, saya percaya walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa bagi kita," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).