JELI- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berharap kerajaan sedia mempertimbang penambahan dana melalui Bajet 2018 yang dijangka dibentangkan di Parlimen Jumaat ini bagi membolehkan lebih banyak penyelidikan dan projek inovasi dijalankan.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunannya,  Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata, ia penting bagi membolehkan aktiviti penyelidikan, inovasi dan kreativiti di institusi pengajian tinggi awam dapat dibudayakan.

"Ini kerana ia mampu memberi impak yang tinggi kepada pembangunan sosio ekonomi dan masyarakat. Penyelidikan perlukan dana, ia berkait rapat dengan peningkatan nilai tambah, produk, proses inovasi, cepat, ditambah pula dengan Revolusi 4.0. Semua ini adalah gelombang yang berlaku dalam dunia hari ini.

"Saya percaya melalui penyelidikan dan inovasi yang dipacu oleh industri 4.0 dapat membantu dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Minggu Penyelidikan dan Inovasi UMK 2017 serta Karnival Stem anjuran bersama Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter UMK- Jabatan Pendidikan Negeri- Stem Movement Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselir UMK, Profesor Datuk Dr Mortaza Mohamed; Ahli Lembaga Pengarah UMK, Zulkifli Mohd Zan dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Profesor Datuk Dr Ibrahim Che Omar.

Nik Ali berkata, beliau menyambut baik usaha UMK menganjurkan Minggu Penyelidikan dan Inovasi yang disifatkan sebagai inisiatif institusi pengajian tinggi itu dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi di negara ini.

"Ia selari dengan matlamat negara yang sedang menuju ke arah ekonomi berinovasi sebagai pemacu kepada negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Menurutnya, aspek penyelidikan dan inovasi yang boleh diaplikasi dan dikomersialkan adalah satu-satunya inisiatif dilakukan semua universiti termasuk UMK walaupun baru meniti usia 10 tahun.

"Walaupun masih baru, tetapi kita perlu berbangga dengan inisiatif dilakukan UMK dalam bidang penyelidikan dan inovasi yang selari dengan plan pembangunan pendidikan tinggi iaitu gabungan antara ahli akademi, kerajaan, komuniti serta industri bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap kementerian bersiap sedia bagi memastikan apa yang direncanakan dalam Bajet 2018 mencapai matlamat dan sampai kepada rakyat semuanya.
  • TENOM - Pemuda Umno Malaysia mencadangkan supaya peruntukan RM1 billion yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2018 bagi membiayai kerja baik pulih sekolah daif di Sabah diserahkan terus kepada pejabat pendidikan negeri.
  • KUALA LUMPUR - Persepsi bahawa perbelanjaan mengurus sebanyak RM234.25 bilion dalam Bajet 2018 hanya untuk pembayaran gaji atau emolumen perlu diperbetulkan kerana peruntukan untuk komponen itu termasuk pencen dan gratuiti hanya membabitkan sekitar 44 peratus daripada jumlah tersebut.
  • KUALA LUMPUR - Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2017 adalah sebanyak RM685.1 bilion atau 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
  • PUTRAJAYA - Jawatankuasa kerja bagi memantau pelaksanaan program dan projek yang diperuntukkan menerusi Bajet 2018 akan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam tempoh dua minggu dari sekarang, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.