JITRA - Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) menggesa kerajaan memperincikan takrif Perusahaan Kecil dan Sederhana supaya gerakan koperasi boleh menikmati faedah dan insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam Bajet 2018.

Presiden Angkasa,  Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, oleh kerana bajet untuk PKS pada tahun ini bertambah, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan semula perkara itu bagi membolehkan gerakan koperasi turut menikmati bajet kerajaan tersebut.

“Pada masa ini, PKS tidak berada di bawah koperasi. Jadi pengusaha-pengusaha yang berada di bawah koperasi tidak layak untuk menggunakan dana yang disalurkan kerajaan kepada PKS.

Saya berharap ketika perkara ini dibahaskan di Parlimen, kerajaan dapat mengiktiraf koperasi sebagai PKS supaya koperasi juga mendapat kemudahan seperti PKS,” katanya ketika ditemui Bernama selepas membuat lawatan kerja di Koperasi KOKUSDA di sini, hari ini.

Dengan pengiktirafan yang diberikan itu akan membolehkan koperasi menikmati pelbagai insentif daripada kerajaan seperti pengurangan cukai dan bantuan dana.

“Bila ada peningkatan, ada ruang untuk koperasi gunakan bajet itu oleh kerana bajet PKS bertambah, jadi minta takrif PKS dimasukkan dalam koperasi... itu yang kita minta sebab sekarang memang tak boleh kerana tarif PKS tak masuk bawah koperasi  lagi,” katanya.

Antara kemudahan untuk PKS yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2018 Jumaat lepas ialah peruntukan RM7 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). - Bernama