KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang mewujudkan Universiti Pertanian Agropolitan yang akan memberi penekanan kepada pembangunan bidang pertanian di negara ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata menyedari pertanian adalah bidang yang sentiasa 'hidup', kerajaan berhasrat mewujudkan sebuah institusi pengajian yang memberi pengkhususan dalam bidang itu.

"Bidang pertanian perlu terus dipergiat dan dibangunkan dari semasa ke semasa kerana ia merupakan sumber makanan kepada rakyat.

"Ilmu pengetahuan, penyelidikan dan teknologi mesti diteruskan dengan adanya gedung ilmu pertanian itu," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah di persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Firdaus bertanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mewujudkan semula sebuah institusi pengajian yang memberi tumpuan khusus kepada bidang pertanian bagi menjalankan penyelidikan dalam membangunkan bidang pertanian selain mengurangkan kebergantungan bekalan makanan kepada negara luar.

Tajuddin berkata keperluan mewujudkan semula sebuah institusi pertanian merupakan langkah terbaik bagi menjalankan penyelidikan serta membangunkan teknologi terkini untuk memajukan bidang pertanian negara.
   
"Sebelum ini, kita ada Universiti Pertanian Malaysia (UPM) namun menyedari universiti itu mempunyai banyak cabang ilmu, ia ditukar kepada Universiti Putra Malaysia pada 1997," katanya.
   
Semasa menjawab soalan tambahan Senator Abdul Shukor Mohd Sultan yang bertanya teknologi baharu yang diperkenalkan kerajaan dalam memajukan bidang pertanian bagi menampung bekalan makanan negara, Tajuddin berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sentiasa menjalankan penyelidikan dan memperkenal pelbagai teknologi baharu bidang itu.
   
Mardi diamanahkan untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang makanan, pertanian serta industri asas tani secara berterusan mencari kaedah meningkatkan produktiviti bidang pertanian negara termasuk menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan pengeluaran padi.
   
"Mardi berjaya menghasilkan benih padi baharu dikenali MR220 CL1 dan CL2 serta memperkenalkan kaedah siraman padi dan kedua-dua kaedah tersebut telah berjaya dan terbukti setakat ini selain mengurangkan kos yang perlu ditanggung pesawah," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Program Pertanian Bandar merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi menggalakkan amalan pertanian di kawasan perumahan bandar sekaligus dapat mendatangkan pendapatan sampingan kepada rakyat.
  • KUALA LUMPUR - Syarikat yang mendapat projek-projek kerajaan akan diminta menyediakan kad laporan bagi melihat pembabitan mereka dalam membantu rangkaian syarikat bumiputera.
  • KUALA LUMPUR - Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri semalam menyediakan bantuan yang sangat komprehensif kepada golongan yang terlibat dalam sektor pertanian.
  • BERA - Kerajaan membelanjakan kira-kira RM70 juta untuk membayar bil elektrik bagi program Lampu Jalan Kampung (LJK) di seluruh negara pada tahun lalu, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • SERDANG - Industri tuna mampu memberi pulangan lumayan kepada negara berdasarkan kepada permintaan tinggi di peringkat global.