SHAH ALAM - Keputusan yang dibuat negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyegerakan resolusi berkaitan kepentingan Baitulmaqdis kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan negara Islam serius dalam memberi tekanan kepada Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, ia juga menunjukkan satu penyatuan dalam kalangan negara Islam untuk sama-sama menuntut hak rakyat Palestin bukan sekadar simpati.

"Negara Islam terlibat sedar isu berkaitan harta umat Islam tidak boleh dikompromi, malah perjuangan ini dilihat sebagai satu jihad yang perlu disokong agar kemerdekaan dan pembebasan bumi Palestin menjadi hak rakyatnya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Media melaporkan, negara OIC menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan PBB supaya melaksanakan tanggungjawabnya pada kadar segera dengan menggerakkan resolusi berkaitan kepentingan Baitulmaqdis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara OIC juga menyatakan kesediaan untuk membawa isu bantahan terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh AS ke PBB, jika Majlis Keselamatan itu gagal bertindak.

Mengulas lanjut, Awang Suffian berkata, tindakan AS kini bukan lagi dilihat sebagai orang tengah dalam mencari jalan penyelesaian dalam isu Israel dan Palestin.  

"Jika begini cara AS menyelesaikan isu seperti ini, maksudnya mereka telah melakukan kesilapan besar.

"AS sudah cenderung dan lebih berpihak kepada Israel berbanding umat Islam. Tidak mungkin penjajah (Israel) yang melakukan jenayah, boleh memiliki tempat yang bukan kepunyaan mereka," katanya.

Awang Suffian berkata, diharapkan keputusan yang dibangkitkan oleh negara OIC ini tidak hanya menjadi deklarasi di atas kertas semata-mata.

"Kita tidak mahu keputusan sebegini hanya dicatatkan di kertas tetapi tidak mampu untuk dilaksanakan, sedangkan umat Islam adalah komuniti paling ramai di dunia.

"Kalau ikut kepada demokrasi umat Islam ada hak bersuara yang tidak boleh dibelakangkan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bekas Imam Besar Al-Aqsa, Syeikh Ekrima Said Sabri hari ini menzahirkan penghargaan serta sokongan terhadap pendirian Malaysia dalam isu Baitulmaqdis dan Palestin.
  • KUALA LUMPUR - Persidangan Antarabangsa Bagi Membela Baitulmaqdis bermula pada Rabu di Pusat Persidangan Antarabangsa Al-Azhar, Madinah Nasr, Kaherah, Mesir.
  • MELAKA - Israel dan sekutunya mencabar keamanan dan keharmonian di Baitulmaqdis yang didambakan masyarakat dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • KUALA LUMPUR - Undi majoriti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) menolak keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel adalah bukti jelas mengenai komitmen dunia kepada undang-undang antarabangsa, kata aktivis sosial Dr Chandra Muzaffar.
  • KUALA LUMPUR - "Malaysia menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitumaqdis sebagai ibu negara Israel," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.