SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan pihak Gereja Katolik dalam penggunaan kalimah ALLAH dalam The Herald bagi edisi bahasa Melayu bertepatan dengan syarak dalam mengekalkan kedaulatan agama Islam.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, ia juga sejajar dengan ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurutnya, pihaknya juga berharap semua pihak menghormati keputusan tersebut dan mengelakkan apa-apa kenyataan atau melakukan tindakan provokasi berdasarkan keputusan itu.

“Saya menyeru pihak gereja menerima keputusan dengan senang hati.

“Elakkan apa-apa kenyataan, tindakan provokasi atau mencabar keputusan mahkamah serta perlu mengutamakan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran rayuan penggunaan kalimah ALLAH dalam The Herald.

Keputusan tersebut yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menyaksikan di mana empat daripada tujuh panel hakim bersidang menolak permohonan gereja untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan versi bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Zaik turut menerima keputusan itu dengan penuh kesyukuran serta berharap ia akan menamatkan ketegangan agama di antara semua pihak.

“Alhamdulillah kita bersyukur degan keputusan ini dan berharap semua pihak terutamanya pihak gereja menerimanya dengan senang hati,” katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.