JOHOR BHARU - Kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin,  yang mendakwa kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa masuk pelaburan besar dari China tidak akan dapat memancing undi orang Cina dianggap satu kenyataan yang lahir dari pemikiran yang sempit.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nurjazlan Mohamed berkata, minda pemimpin pembangkang itu terlalu naif apabila melihat kejayaan pelaburan itu hanya dari sudut politik semata-mata bukannya berpandangan jauh dari sudut pembangunan serta ekonomi.

"Janganlah terlalu naif apabila semua isu hendak jadi bahan politik sampaikan hal yang memberi kebaikan kepada ekonomi negara pun nak jadi modal pancing undi.

"Kejayaan lawatan Perdana Menteri ke China dengan membawa balik pelaburan besar dari negara kuasa ekonomi dunia itu adalah untuk kebaikan seluruh rakyat dan bukannya hanya nak tarik undi orang Cina," katanya.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, masyarakat Cina khususnya golongan peniaga menyahut baik dan memuji kejayaan itu kerana mampu memberi limpahan ekonomi kepada mereka dan majoriti rakyat negara ini.

Nurjazlan berkata, strategi Malaysia menjalinkan kerjasama baik dengan China dari pelbagai sudut terutamanya ekonomi membuat negara mengurangkan kebergantungan urus niaga dan perdagangan dengan blok barat.

"Muhyiddin perlu membuka minda beliau dengan lebih luas dan jangan anggap kerajaan buat untung pancing undi Cina sahaja.

"Kerajaan mempunyai agenda lebih besar daripada hanya memikirkan ‘millage’ politik sahaja kerana kebajikan rakyat sentiasa diutamakan," katanya.

Ujar beliau, lawatan susulan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke China juga cukup signifikan kepada hubungan dua hala itu dengan diperkukuhkan melalui bidang keselamatan negara.

"Malaysia-China menjalinkan hubungan cukup unik sejak zaman berzaman. Kesepakatan dua negara itu meliputi pelbagai bidang termasuk isu keselamatan yang amat jarang dimeterai dengan negara-negara lain.

"Kunjungan TPM ke China memantapkan lagi kerjasama yang sedia terjalin utuh, Jadi saya harap tak lagi pemimpin pembangkang yang nak politikkan isu kali ini," katanya.