SHAH ALAM - ‘Kenyataan Shabudin amat memalukan dan beliau perlu meminta maaf.' Itu pandangan Naib Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Datuk Munirah Hamid terhadap kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat, Shabudin langsung tidak sensitif terhadap perasaan mangsa rogol yang pastinya trauma dengan kejadian menimpa mereka.

“Rogol itu kesalahan jenayah dan sebagai mangsa, saya tidak faham mengapa mereka perlu dikahwinkan dengan perogol. Ini tidak masuk akal.

“Beliau perlu minta maaf dengan kenyataannya itu. Jika bukan itu dimaksudkan, beliau perlu berani berterus-terang,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Wanita dan Pemuda Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur (Hokkien SKL) juga kecewa terhadap kenyataan Shabudin yang disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan.

“Kenyataan beliau juga bertentangan dengan nilai keadilan semua agama, termasuklah Islam yang amat mementingkan keadilan,” katanya dalam kenyataan media.

Melalui kenyataan bersama itu, Ketua Pemuda, Robert Lua Khang Wei dan Ketua Wanita, Lee Pak Hun mengecam sekeras-kerasnya kenyataan tersebut dan mendesak ia ditarik balik.

“Perkahwinan mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya tidak dapat atasi masalah sosial, malah menyebabkan masalah sosial jadi lebih serius, serta membawa masyarakat ke zaman jahiliah,” kata kenyataan itu.