SHAH ALAM - Pemuda Ikatan Malaysia menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menarik balik keputusan menggunakan bahasa Melayu, Inggeris, dan Mandarin untuk terbitan rasmi dan kenyataan akhbar Kementerian Kewangan.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan tindakan itu adalah tidak wajar sekali gus merendahkan kedudukan Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan digunakan untuk urusan kerajaan.

Beliau berkata, sewajarnya hanya Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan digunakan sebagai teras bahasa rasmi untuk urusan kerajaan.

“Bahasa menjadi simbol dan alat untuk kukuhkan perpaduan sesama kaum. Mengapakah Guan Eng mahu pecah-belahkan alat perpaduan ini dengan wujudkan sistem banyak bahasa dalam komunikasi daripada pihak kerajaan.

“Kami ingatkan seluruh rakyat bahawa isu dimainkan ini ada isu sensitif yang boleh jejaskan keharmonian antara kaum di Malaysia. Mengapa hanya Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin digunakan dalam kenyataan akhbar Kementerian Kewangan? Malaysia didiami pelbagai kaum. Mengapa tidak Bahasa Tamil atau Bahasa Iban juga digunakan? Mereka juga adalah rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Shahir yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera kesal dengan kenyataan angkuh Guan Eng yang menyatakan bahawa komunikasi di media sosial adalah berdasarkan jawatannya selaku Setiausaha Agong DAP.

“Pemuda Ikatan mahu beliau berfikir sejenak bahawa beliau juga Menteri Kewangan di mana tanggungjawab beliau sekarang bukanlah untuk parti DAP semata-mata, namun untuk 31 juta rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya lagi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini mengeluarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin.

Meskipun kenyataan rasmi dalam Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris turut dikeluarkan, ramai mempersoalkan rasionalnya kenyataan Bahasa Mandarin dikeluarkan juga.

Bagaimanapun, Guan Eng mempertahankan tindakan mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa, yang menekankan kepelbagaian bahasa di negara ini.