PUTRAJAYA - Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Musa Aman atas alasan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tertumpu kepada sumbangan politik.

SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan tersebut diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan selanjutnya selepas selesai menyiasat Musa.

"Dasar AGC pada ketika itu menetapkan untuk tidak menuduh kes yang melibatkan sumbangan politik," katanya.

Bagaimanapun, SPRM telah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lalu setelah memperoleh maklumat baharu berhubung kes tersebut.

"Kertas siasatan kepada AGC untuk dikaji semula.

"Peguam Negara kemudiannya memutuskan bahawa Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Beliau telah dituduh pada 5 November lalu," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta SPRM memberi penjelasan kenapa pendakwaan Musa tidak dibuat terlebih awal.

Isnin lalu, Musa mengaku tidak bersalah terhadap 35 pertuduhan memperoleh AS$63.3 juta berhubung penganugerahan kontrak konsesi balak negeri itu, 13 tahun lalu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Musa Aman nafi peroleh AS$63.3 juta ]

Pada prosiding itu, Tan Sri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan pendakwaan menyuarakan rasa hairannya kenapa Musa tidak didakwa lebih awal.