KUALA LUMPUR - Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar mendedahkan maklumat permintaan DAP yang mahukan Semenanjung Malaysia dibahagi kepada dua bahagian, setelah hampir setengah abad.

Beliau berkata, sekiranya DAP atau dirinya mahukan Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada dua, cadangan itu tidak mungkin dirahsiakan.

“Sekiranya saya atau DAP ada cadangan untuk pisahkan Semenanjung Malaysia, pantai barat untuk Cina dan pantai timur untuk Melayu, ia tidak akan menjadi rahsia sehingga separuh abad.

“Ia (cadangan itu) akan digunakan untuk menyerang saya dan DAP dalam tempoh lima dekad lalu untuk menunjukkan bagaimana DAP melakukan pemecahan, rasis, tidak patriotik dalam memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian mengikut kaum,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Semalam, dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian, Hanif berkata beliau masih mengingati laporan yang mengatakan DAP pernah meminta agar memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian, iaitu pantai timur kepada kaum Melayu dan pantai barat kepada kaum Cina.

Hanif mendakwa, cadangan itu diperoleh daripada hasil laporan risikan yang dihantar kepadanya.

Menurutnya, ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (Mageran) bermula 16 Mei 1969.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hanif Omar tak nyanyuk]

“Pertama sekali, bolehkah Hanif mendedahkan siapa pemimpin DAP yang mencadangkan cadangan tersebut memandangkan saya tidak mengetahui cadangan itu.

“Dia (Hanif) harus menyedari bahawa ceritanya itu akan menjadi modal buat ekstrem politik dan golongan oportunis untuk menghasut permusuhan antara kaum dan agama, kebencian dan perselisihan di Malaysia selepas PRU14,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.