Kemeriahan sambutan kemerdekaan tidak lagi semeriah dulu
Kemeriahan sambutan kemerdekaan tidak lagi semeriah dulu

BERA – Tanggal 31 Ogos ini, genaplah 55 tahun negara mencapai kemerdekaan, namun semangat yang terbit dalam jiwa anak muda pada hari ini terlalu kerdil.

Pada 20 tahun lalu, semua orang berkobar-kobar untuk menyemarakkan Hari Kemerdekaan hingga sanggup mengibarkan bendera di rumah dan kenderaan masing-masing serta tidak sabar menyaksikan acara perbarisan setiap kali sambutan.

Namun, semua itu hanya akan tinggal kenangan jika masyarakat tidak berusaha untuk menanam semangat patriotik dalam diri masing-masing.

Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Azmi Abu Bakar berkata, kemeriahan menyambut Hari Kemerdekaan kini jauh berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini.

Menurutnya, ia berikutan tidak banyak Jalur Gemilang dikibarkan sedangkan hari bersejarah itu akan disambut empat hari lagi.

“Kita dapati hanya bangunan kerajaan mengibarkan bendera. Premis lain seperti kedai, syarikat swasta atau individu sudah jarang berbuat demikian.

“Kalau dulu, kita boleh lihat masing-masing meletakkan bendera di kenderaan sendiri, tetapi sekarang semangat itu seakan sudah hilang,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai lebih suka menggunakan cuti Hari Kemerdekaan untuk berehat di rumah berbanding melihat acara perbarisan dijalankan.

Menurutnya, mereka juga menganggap cuti tersebut adalah hari untuk mereka tidur lebih lama, berehat atau bercuti ke lokasi pelancongan, lebih-lebih lagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini jatuh pada Jumaat.

Sementara itu, Setiausaha PBTM, Rosly Othman berkata, ada juga mengharapkan bendera percuma untuk dikibarkan.

Katanya, tidak ramai sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli sehelai bendera, apatah lagi dalam jumlah yang banyak.

“Kalau hanya mengharapkan bendera diagihkan secara percuma, sememangnya kita tidak mempunyai semangat kemerdekaan.

“Jika kita benar-benar mahu menghargai jasa pejuang tanah air yang memperjuangkan kemerdekaan, tidak perlu kedekut untuk membeli bendera,” katanya.

Rosly berkata, anak muda seharusnya memahami erti kemerdekaan walaupun mereka tidak pernah merasai keperitan sebelum dan pada awal mencapai kemerdekaan negara.

Katanya, walaupun kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk mendekatkan jiwa anak muda dengan semangat kemerdekaan, tetapi ternyata mereka lebih suka mengambil sikap sambil lewa.

“Janganlah semangat kemerdekaan itu wujud pada setiap 31 Ogos sahaja. Kalau boleh, kekalkan semangat itu dalam jiwa setiap hari untuk memastikan kita terus kekal bebas daripada jajahan luar.

“Bukan sekadar jajahan seperti lebih 50 tahun lalu, malahan jajahan minda disebarkan secara perlahan-lahan dari luar juga perlu ditangkis,” katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.