SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan akan berkerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam usaha mengumpul data berhubung gaji peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, data tersebut penting bagi mengenal pasti peminjam yang mempunyai gaji kurang daripada RM 4,000 agar membolehkan mereka menangguhkan pembayaran PTPTN seperti dalam manifesto Pakatan Harapan.

Begitupun, beliau enggan mengulas apabila ditanya adalah mampu kerajaan menunaikannya dalam masa 100 hari sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu PTPTN: BN tak beri maklumat sebenar kewangan negara]

[ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN komited laksana manifesto kerajaan]

"Itu (laksana janji dalam 100 hari) kena tanya kepada dia (Wan Saiful). Kalau tanya kepda saya, saya telah berikan tanggungjawab dan beliau kena pastikan dapat melaksanakan tanggungjawabnya itu.

"Bagi peminjam bergaji bawah RM 4,000, bukan tak perlu bayar tetapi mereka tidak akan dipaksa untuk bayar. Begitupun, ramai jumpa saya kata nak bayar apatah lagi dengan keadaan ekonomi seperti sekarang," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Wan Saiful memaklumkan PTPTN mungkin menghadapi masalah untuk laksanakan manifesto tersebut kerana kurangnya maklumat diperoleh semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Khairy tidak puas hati jawapan Maszlee janji PTPTN]

Menurut Wan Saiful, kerajaan terpaksa memikirkan semula bagaimana untuk melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam manifesto terutamanya 10 janji dalam masa 100 hari yang antaranya termasuk mengenai bayaran balik pinjaman PTPTN.

Menjelas lanjut mengenai janji itu, Wan Saiful berkata PTPTN telah menawarkan peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah yang hendak menangguhkan pembayaran balik untuk memohon kepada PTPTN dengan menyediakan maklumat pendapatan.