JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan pertimbang beri elaun khas kepada guru-guru yang mengajar di kawasan bandar besar termasuk di Johor Bahru, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, cadangan itu adalah satu mekanisme yang difikirkan kementerian bagi mengatasi isu kekurangan guru berpunca daripada kos sara hidup yang tinggi.

“Kementerian mempertimbangkan untuk memberikan elaun guru bagi menyelesaikan isu kekurangan guru.

“Kami dapati punca utama kekurangan guru kerana mereka tidak berminat mengajar di sini kerana kos sara hidup agak tinggi di bandar besar seperti Johor Bahru,” katanya selepas majlis Pembukaan Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebang­saan Institut Pendidikan Guru Kali Ketiga (PPIPK) 2018 di Dewan Seri Temeng­gong Ibrahim Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong  Ibrahim (IPGKTI) Johor Bahru, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah kekurangan guru yang meruncing di bandar utama negara seperti Johor dan Selangor berikutan ramai daripada mereka memilih kembali ke tempat asal untuk bertugas.

Julai lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kos sara hidup tinggi di bandar besar dikenal pasti antara faktor menyebabkan ramai guru kembali ke kampung halaman untuk mengajar.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, kementerian juga telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengatasi isu berkenaan.

Katanya, menerusi jawatankuasa tersebut mendapati cadangan memberikan elaun khas guru dilihat antara satu cara untuk menyelesaikan masalah itu.

“Jadi salah satu cadangan yang diterima kementerian adalah memberikan elaun khas untuk guru mengajar di kawasan spesifik,” katanya.