GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan memperhebatkan usahanya dalam mengekang penularan wabak rabies atau anjing gila di Sarawak yang merekodkan kes keenam semalam di Samarahan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata semalam, budak lelaki berusia tujuh tahun dikenal pasti sebagai manusia keenam dijangkiti rabies di Sarawak dan telah diberikan vaksin antirabies.

“Lima kes sebelum ini berlaku di Serian dan di Samarahan itu kes pertama, justeru kita akan tingkatkan usaha mengawal dan menjejaki anjing-anjing yang terkena jangkitan rabies,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa 2017, di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya telah mengenal pasti anjing yang dijangkiti rabies di Sarawak dan tindakan lanjut telah diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kanak-kanak lelaki dari Kampung Kuala Gedong, Samarahan itu telah digigit seekor anjing pada 17 Julai dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Awal bulan lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan kes pertama positif jangkitan rabies di Sarawak melibatkan dua beradik dari Kampung Paon Rimu Bakong, Serian, dan ini diikuti tiga lagi kes di bahagian sama dengan masing-masing satu kes di Kampung Lebar, Kampung Seroban dan Kampung Remun.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata Pihak Berkuasa Peranti Perubatan  (MDA), sebuah badan berkanun di bawah kementeriannya, telah mengeluarkan lebih  2,000 lesen kepada pengeluar, wakil sah serta pengedar dan pengimport peranti perubatan.

Beliau berkata MDA bertanggungjawab mengawal selia peranti perubatan dan menguatkuasakan undang-undang peranti perubatan.

Setakat  ini hampir 140,000 peranti perubatan berdaftar dengan MDA yang melibatkan kutipan fi sekitar RM3 bilion.

"Ini menunjukkan kesungguhan dan kebolehpercayaan industri peranti perubatan Malaysia dalam pematuhan kepada keperluan pengawalseliaan untuk berkembang dan bersaing di pasaran global,” katanya.

Dr Subramaniam berkata matlamat penubuhan MDA ialah untuk memastikan peranti perubatan yang dikeluarkan atau dijual di Malaysia mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa untuk kegunaan masyarakat umum. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan mengadakan program pemvaksinan anjing untuk mengawal penularan wabak anjing gila atau Rabies di lapan kampung di Bahagian Serian, esok.
  • KUCHING - Sebanyak 26,228 ekor haiwan peliharaan telah divaksin setakat ini dalam usaha membendung penularan wabak Rabies atau anjing gila di Sarawak.
  • IPOH - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak tidak bercadang menarik balik pewartaan kawalan penyakit rabies di kawasan Kuala Sepetang dalam masa terdekat.
  • BAU - "Terlalu awal untuk mengisytiharkan bahawa wabak rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak telah pun pulih," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.