KAJANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memuji tindakan guru Sekolah Kebangsaan (SMJK) Chi Wen, Bahau, Negeri Sembilan yang membantu memayungkan pelajar ketika hujan untuk memasuki kawasan sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya turut menyarankan sekolah lain supaya mencontohi tindakan guru di sekolah itu.

“Bagaimanapun, ia merupakan inisiatif masing-masing. Tindakan guru perlu kreatif dan inovasi bagi membantu pendidikan pelajar,” katanya.

Mahdzir berkata, padanya apa perkara kebaikan untuk sekolah, pelajar dan ibu bapa perlu tindakan positif.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga disarankan membeli baju hujan untuk setiap murid,” katanya.

Terdahulu, akhbar melaporkan guru SMJK Chi Wen akan membuka payung masing-masing menjemput pelajarnya dari kenderaan sehingga ke tempat teduh, bagi mengelakkan dibasahi hujan.

Guru kaunselor sekolah, Zubaidah Zakaria berkata, program yang dimulakan sejak 2017 itu adalah anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling, di bawah Unit Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah.

“Usaha ini adalah salah satu daripada program Guru Penyayang yang dilancar tahun lalu," katanya.