SHAH ALAM - Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent) mencadangkan Kementerian Pendidikan yang diterajui Dr Maszlee Malik supaya menubuhkan universiti untuk golongan seniman, teknikal dan atlet negara.

Ketua Eksekutif Competent, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, usaha ini mampu mewujudkan industri tersendiri dalam ketiga-tiga bidang tersebut selain meningkatkan kebolehpasaran modal insan di peringkat global.

"Sebagai contoh, tidakkah kita berbangga jika rakyat kita dapat berkarya di Hollywood, Bollywood atau Cannes dan beraksi di La Liga, Sepanyol? Atau adakah kita ingin selama-lamanya menggunakan jenama-jenama asing seperti Samsung, Huawei, Sharp dan lain-lain dalam rumah kita walaupun sebelum ini kita mampu membangunkan Proton dan Perodua?," katanya menerusi kenyataan media.

Wan Anwar yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional turun menyarankan kementerian itu menjadikan Turki sebagai model pendidikan dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.

Menurutnya, bukan itu sahaja, negara seperti Britain, Amerikan Syarikat dan Australia juga dilihat sebagai destinasi utama pendidikan yang turut boleh dijadikan contoh dalam tertier akademik manakala Arab Saudi, Mesir dan Jordan boleh dijadikan panduan bagi pendidikan aliran agama.