SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan akan memastikan peruntukan belanjawan untuk sektor itu meningkat sekurang-kurangnya satu peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun ini.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelbagai isu yang timbul di dalam sektor itu sebelum ini adalah berpunca daripada jumlah peruntukan yang terhad.

“Saya sangat realistik dengan permintaan saya kerana faham dengan keadaan kerajaan dan negara yang berdepan dengan jumlah hutang yang tinggi.

“Tahun ini kementerian diberikan RM25 bilion tapi saya mahu sedikit peningkatan di mana sepanjang lima tahun ini akan ada pertambahan peruntukan setiap tahun paling tidak satu hingga dua peratus,” katanya dalam program Bicara Minda Bersama Menteri Kesihatan dengan tajuk ‘Rakyat Sebagai Tenaga Untuk Negara’ di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Menurutnya, keperluan dana dalam sektor kesihatan tidak perlu menjadi pertikaian memandangkan pengurusan secara keseluruhannya memerlukan kos yang tinggi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia ketinggalan dalam bidang perubatan]

“Semua keperluan dalam sektor kesihatan ini perlukan duit. Jadi tidak ada pertikaian mengenai keperluan dana.

“Saya akan berusaha untuk pastikan ada peningkatan peruntukan dalam sektor ini setiap tahun supaya dapat kita bekalkan pembelian aset, kemudahan, peralatan, pembinaan hospital dan klinik-klinik kerajaan bertepatan dengan pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Jelasnya, sebuah kerajaan yang komited pasti meletakkan keutamaan dengan betul.

“Kalau kerajaan sudah beri peruntukan yang banyak kepada sektor A, perkara sama tidak boleh diberikan kepada sektor B. Tapi persoalannya, mana lebih penting, A atau B.

“Jadi jika kerajaan meletakkan sudut kesihatan dan pendidikan itu penting, mereka perlulah memberikan kesihatan dan pendidikan itu lebih berkepentingan daripada lain,” katanya.