PETALING JAYA - Kementerian Kesihatan akan meneliti mekanisme bagi  melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran, kata Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata usaha itu diambil itu berikutan harga ubat-ubatan dalam pasaran kian meningkat setiap tahun dan dikhuatiri menjejaskan kebolehmampuan penjagaan kesihatan untuk rakyat.

“Harga ubat-ubatan tidak tersenarai dalam harga barang terkawal dan ia didapati melambung tinggi setiap tahun.

“Kita akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi menyegerakan perkara ini. Namun terdapat banyak aspek dan faktor perlu diteliti dan diambil kira terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Program Perkhidmatan Farmasi di sini hari ini.

Dr Lee berkata kementerian juga sedang mengkaji mekanisme bagi menambah baik sistem bekalan ubat di hospital kerajaan dan pasaran untuk memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi.

“Isu bekalan dan logistik ubat berkaitan juga dengan pemegang tender. Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang salah laku berkaitan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata antara aspek yang akan dinaik taraf bagi memastikan bekalan ubat mencukupi ialah penggunaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih canggih untuk proses rekod yang lebih cekap. -Bernama