KLANG - Kementerian Pendidikan hari ini memberi penjelasan berhubung kewujudan replika kubur di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Bukit Kuda, yang menjadi tanda tanya kepada pelajar dan masyarakat setempat di sini.

Pihak kementerian dalam kenyataan berkata, replika kubur itu dibina oleh Panitia Pendidikan Islam sekolah itu dengan tujuan sebagai latihan amali kepada murid-murid yang beragama Islam di sekolah tersebut.

“Hasil siasatan yang dijalankan, kami mendapati pembinaan replika kubur itu adalah bertujuan sebagai latihan amali kepada kurikulum Pendidikan Islam Tingkatan Tiga mengenai ‘Pengurusan Jenazah’,” kata pihak kementerian seperti yang dipetik menerusi kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, beberapa media melaporkan timbulnya tanda tanya mengenai replika batu nisan dan kubur di sekolah itu.

Kementerian dalam kenyataan sama berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak pengurusan sekolah untuk memindahkan replika kubur itu ke satu sudut kawasan surau sekolah bagi latihan pembelajaran dan amali sekolah.

“Ia bagi mengelakkan kekeliruan dan menjaga sensitiviti pelajar yang bukan beragama Islam,” kata kenyataan itu lagi.

Kementerian dalam masa sama turut menjelaskan penyediaan replika kubur itu bukan perkara wajib untuk diadakan dalam sesi pengajaran tersebut.

“Ia bagaimanapun merupakan inisiatif sekolah berkenaan dalam memberi kefahaman kepada murid terhadap tajuk pengajarannya,” katanya lagi.
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.