KLUANG - Seorang suri rumah menyifatkan kemenangan yang diperoleh menerusi Peraduan Rakyat 1Malaysia (PR1M) sebagai rezeki suaminya yang menghidap sakit angin ahmar.

Zainaistiwa Jaafar, 45, berkata, memenangi wang RM1,000 memang menjadi idamannya sejak pertama kali menghantar keratan jawapan peraduan pada Julai 2015.

“Kemenangan ini adalah untuk suami dan anak-anak, bagi kami sekeluarga meneruskan hidup. Suami sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah, namun disebabkan diserang penyakit angin ahmar, bahagian kanan badan sukar bergerak, menyebabkan dia diberhentikan kerja.

“Punca pendapatan kami sekeluarga terputus dan kini hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) suami RM300 sebulan selain anak sulung yang berusia 16 tahun bantu mencari rezeki dengan menjadi pembantu kedai makan.

“Walaupun bersekolah tetapi anak sulung cuba bantu mencari rezeki bagi menampung wang perbelanjaan sekolah. Saya pula tidak boleh keluar bekerja kerana ada darah tinggi dan hanya memberi tumpuan menjaga suami yang sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Intan, di sini, semalam.

Zainaistiwa berkata, sejak mula membaca surat khabar Sinar Harian, dia telah memilih akhbar berkenaan sebagai bahan bacaan untuk suaminya, Zulkifli Kordi, 48, ketika menjalani sesi terapi di rumah dan hospital.

“Terapi untuk pulihkan semula ingatan suami saya kerana selepas diserang angin ahmar, memorinya lemah dan lupa banyak perkara.

“Dengan membaca Sinar Harian mampu bantu pulihkan semula ingatannya kerana akhbar ini merupakan akhbar yang ringan dan lebih berkisar kepada berita setempat,” katanya.