TASHKENT  - UZBEKISTAN. Kembara Inspirasi Haji kini menghadapi masalah untuk meneruskan perjalanan yang masih berbaki beratus kilometer di wilayah ini berikutan ketiadaan bekalan diesel  untuk menampung keperluan kedua-dua kenderaannya sedang bekalan yang dibawa juga semakin susut.

Sejak tiba di negara ini, peserta kembara cuba mendapatkan bekalan bahan api itu dari satu stesen minyak ke satu satu stesen minyak namun hampa kerana setiap stesen minyak yang dikunjungi menyatakan ketiadaan diesel berikutan bekalannya yang terhad di negara ini.

Justeru, mahu tidak mahu mereka terpaksa menggunakan bekalan minyak yang dibawa bersama semasa memasuki negara ini pada Rabu.

“Kita akan cari sedaya upaya agar bekalan diesel dapat diperolehi untuk kegunaan kedua-dua kenderaan kita,” kata Pengarah Projek Kembara Inspirasi Haji Khir Ariffin kepada Bernama.

Hari ini kembara dengan lapan peserta itu  akan meneruskan perjalanan ke Samarkand sebelum ke Turkmenistan pada Ahad.

Selain masalah bekalan diesel, semalam  sebuah kenderaan kembara terpaksa dibawa ke bengkel bagi membaiki palang penyokong rak bumbungnya yang rosak sejak memasuki negara ini lima hari lalu.  

Menurut  mekanik kembara, Muhamad Shahuri Zainuddin, palang itu patah akibat gegaran kuat setiap kali kenderaan pacuan empat roda tersebut melalui jalan yang berlubang dan berlopak.

“Kita perlu baikinya jika tidak ia boleh roboh dan membawa masalah kepada barang-barang yang disimpan di  atas rak itu,” katanya semasa ditemui di bengkel itu di Chilanzar di daerah  Shurhat dalam wilayah Tashkent pada Jumaat.

Rak itu digunakan untuk meletakkan barangan keperluan seperti tong gas mini, tong diesel, tayar ganti dan beberapa barangan kecil lain.

Setakat ini kembara inspirasi haji itu telah melakukan hampir 11,000 kilometer perjalanan merentasi Thailand, Laos, China dan Kyrgyzstan.

Mereka akan meneruskan baki perjalanan 5,000 kilometer lagi melalui negara ini, Turkmenistan, Iran dan Dubai sebelum ke Makkah untuk menunaikan haji. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.