KUALA LUMPUR - Kebersamaan dalam kalangan anggota Asean adalah penting dalam mencapai matlamat untuk mewujudkan kawasan yang selamat serta lebih stabil, dan muncul sebagai rantau paling berjaya, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Berucap di Forum Putrajaya 2018 di sini hari ini, beliau berkata, bagi mencapai matlamat itu, Asean harus bersama-sama melipatgandakan usaha serta mengintegrasikan kapasiti dan keupayaannya dalam menjalin hubungan kerja yang lebih kukuh sehingga ke peringkat bawah.

“Ketika cabaran terhadap keselamatan serantau adalah besar, peluang dan laluannya hanya substantif.

“Ini sepatutnya menjadi pendirian kita kerana kita berusaha untuk menjadikan Asia Tenggara lebih selamat dan makmur,” katanya pada forum bertajuk 'Regional Security Crescendos and Its Implication on Stability'.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu; Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen; dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Ricardo David Jr.

Forum itu dianjurkan bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NatSec Asia) 2018 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Hishammuddin menegaskan, sebagai sebuah rantau, Asean sudah mengalami era keamanan dan kestabilan yang belum pernah berlaku sebelum ini, walaupun menghadapi tekanan dan ancaman yang datang dari luar rantau ini.

“Ketika dunia berhempas pulas menangani ancaman keganasan yang serius, sangat penting bagi kita untuk berbincang dan merangka pelan tindakan bagi memastikan rantau kita tidak menghadapi keganasan tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.

Justeru, beliau percaya Forum Putrajaya ini dapat menyumbang dan membawa integrasi keselamatan Asean ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Ryamizard percaya perbincangan dan berkongsi pandangan secara kerap dan berkesan melalui mekanisme sedia ada seperti Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM), ADMM-Plus dan Forum Putrajaya adalah penting bagi mengekang ancaman bukan fizikal yang bertujuan menghancurkan pemikiran masyarakat Asean.

Beliau berkata, pada masa kini, Asean berdepan empat isu keselamatan yang serius – isu Korea Utara, Ketegangan di Laut China Selatan, Isu Keselamatan Trilateral di Laut Sulu daripada ancaman Daesh di Asia Timur dan pergolakan krisis Rohingya.

Dalam perkembangan berkaitan, Eng Hen berkata, ADMM-Plus terutamanya, adalah platform pertahanan dan keselamatan paling penting bagi rantau ini, dan menjadi satu kemestian untuk menggandakan usaha dalam membina daya tahan dan meningkatkan kerelevanannya.

Forum Putrajaya merupakan forum antarabangsa dwitahunan yang dianjurkan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) sebagai platform untuk mengumpul dan berkongsi pandangan berhubung isu pertahanan dan keselamatan dalam kalangan wakil kerajaan, ahli akademik dan pemain industri. - Bernama