ARAU - Generasi hari ini dan rakyat umumnya perlu sedar bahawa keamanan negara tidak wajar diperjudikan ke tangan pembangkang, tetapi ia sesuatu yang penting untuk sentiasa diperjuangkan serta dipertahankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata generasi baharu perlu sentiasa ingat bahawa pembangkang akan terus memomokkan tentang kononnya keamanan serta kesejahteraan yang dinikmati hari ini tetap kekal jika negara bertukar kepada kerajaan ditadbir pembangkang.

"Mereka (pembangkang) tugasnya memang untuk memperburukkan serta mempolitikkan setiap usaha kerajaan untuk rakyat.  Sebab itu pembangkang akan berkata apa sahaja sesuka hati mereka dengan segala macam isu untuk mencuri perhatian rakyat agar yakin dengan kepimpinan mereka.

"Antara yang sering dipolemikkan ialah kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat sedangkan hakikatnya tidak ada sebuah negara di dunia ini yang kos sara hidupnya semakin berkurang terutamanya dalam menuju status negara maju," katanya.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata demikian semasa berucap merasmikan  Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Arau, di Dewan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata pembangkang juga tidak berupaya berbuat sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat, sedangkan kerajaan jelas bekerja untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat untuk diseimbangkan dengan peningkatan kos sara hidup.

"Jika pendapatan masyarakat bertambah kos sara hidup bukanlah pokok utama kerana kerajaan akan memastikan rakyat terus mampu berbelanja.

"Malah kalau pembangkang politikkan beberapa isu rakyat yang susah serta tidak dibela, saya ingatkan mereka yang kerajaan juga boleh sebut dan senaraikan ratusan malah ribuan nasib rakyat yang telah berjaya dibantu," katanya yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN.

Mengenai tomahan terhadap ekonomi bumiputera yang semakin tenat, Abdul Rahman berkata pembangkang tidak pernah membuktikan setiap dakwaan mereka, tetapi kerajaan terus berhasil dalam usaha memperkasa taraf hidup rakyat disamping memacu kemajuan negara.

"Apa yang saya boleh tegaskan di sini ekonomi bumiputera, orang melayu dan islam terus berkembang mantap. Kalau pada tahun 2009, hanya 80,000 yang mampu tunaikan ibadah umrah, tetapi sehingga 2016, seramai 310,000 orang sudah mampu tunaikan umrah walau bukan wajib.

"Jumlah pendeposit tabung haji juga semakin meningkat daripada 32 bilion pada 2011 kepada 62 bilion pada 2015, ini membuktikan sudah ramai yang mampu. Kerajaan juga tidak akan sesekali berdiam diri untuk selesaikan masalah ekonomi rakyat secara sistematik," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mengingatkan sayap Pemuda dan Puteri Umno untuk terus berganding bahu merapatkan barisan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang serta agresif menjadi ejen sebaran maklumat berkenaan dasar kerajaan untuk kepentingam rakyat serta tidak hanyut dengan isu yang dicipta pembangkang. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Malaysia menganggotai Lembaga Pengarah dalam Institut Standards dan Metrologi untuk Negara-Negara Islam (SMIIC) mulai tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • SHAH ALAM - Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang mengatakan negara telah dijual, digadai ataupun telah hilang kedaulatannya.
  • KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa Malaysia masih mengikut jadual dalam mencapai status negara maju pada tahun 2020.
  • KUALA LUMPUR - Langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan telah membolehkan Malaysia mampu bertahan menghadapi kesan perkembangan luar serta meyakinkan pelabur dan sektor swasta mengenai masa depan negara.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.